- Iklan -
Berita

'Jangan hidup bawah tempurung': Jais diselar serbu majlis Syiah rai kesyahidan Sayyidina Hussain

Seorang ahli akademik berkata Jais hanya mempamerkan kejahilannya dengan meneruskan amalan tahunan menyasarkan umat Islam yang mempunyai tafsiran agama berbeza.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan dikritik kerana cuba menyempitkan tradisi keilmuan Islam dengan menganggap beberapa aliran utama di dunia Islam sebagai sesat.
Kerajaan dikritik kerana cuba menyempitkan tradisi keilmuan Islam dengan menganggap beberapa aliran utama di dunia Islam sebagai sesat.

Tindakan pelbagai agensi diketuai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah majlis umat Islam beraliran Syiah sekali lagi mencetuskan persoalan tentang sikap penguat kuasa Islam negara ini dalam berdepan kepelbagaian mazhab dalam tradisi Islam, dengan pengkritik mengatakan ia bukan sahaja mencerminkan kejahilan pihak berkuasa mengenai dunia Islam, tetapi juga meneruskan kecenderungan menyempitkan ilmu Islam seperti yang dilihat dalam khutbah Jumaat di seluruh negara.

Dr Ahmad Farouk Musa.
Dr Ahmad Farouk Musa.

“Jais sepatutnya mengembara ke seluruh dunia untuk menyaksikan kepelbagaian pemahaman dan amalan Islam dalam kalangan penganutnya di negara-negara lain. Tak usah hidup bawah tempurung dan menganggap hanya wujud satu tafsiran agama yang betul, iaitu Islam ala Jais,” kata Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa, antara pengkritik lantang birokrat agama tempatan.

Pada Khamis lalu, Jais dengan diiringi polis, imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Majlis Bandaraya Subang Jaya menyerbu sebuah majlis sambutan 10 Muharram untuk memperingati Imam Hussain, sosok utama dalam Syiah, aliran yang dominan di Iran dan turut dianuti secara meluas oleh umat Islam di Timur Tengah, Asia Tengah dan benua kecil India.

Menurut Jais, penganjur melanggar Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, sambil menuduh mereka mengingkari fatwa, menyebarkan ajaran “sesat” dan memiliki bahan penerbitan yang melanggar fatwa negeri. Pegawai penguat kuasa turut menyiasat 226 warga asing termasuk 28 kanak-kanak ketika serbuan.

Farouk, seorang pensyarah perubatan yang aktif dalam pengajian Islam dan menghasilkan tesis kedoktoran mengenai al-Qur’an, berkata tindakan terbaru itu menunjukkan pihak berkuasa gagal memahami kepentingan perayaan 10 Muharram, khususnya ketika perang masih berlarutan terhadap Iran, negara di mana sambutan itu kini meniupkan semangat penentangan republik Islam itu terhadap Amerika dan Israel.

Iran_women_rifle_training“Ia menyemai dalam kalangan kita umat Islam semangat untuk melawan kediktatoran dan kuku besi. Ia meraikan keberanian moral cucu Rasulullah yang memilih untuk syahid dan bukan tunduk menyerah kepada penguasa zalim, demi mengutamakan kebenaran dan keadilan mengatasi kuasa,” Farouk memberitahu MalaysiaNow.

“Tak hairanlah justeru Iran, yang menganut aliran Syiah, berjuang bersendirian menentang imperialis Amerika dan sekutunya puak Zionis Israel. Semangat penentangan inilah yang seharusnya Jais pelajari.”

Serbuan terbaru terhadap masyarakat beraliran Syiah itu berlaku ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat berhati-hati memastikan hubungan baik Putrajaya dengan Tehran, yang menurutnya berjaya menjamin keselamatan laluan kapal Malaysia yang terperangkap ketika AS-Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

MalaysiaNow dimaklumkan tiada rakyat Iran antara ratusan warga asing yang diperiksa ketika serbuan.

Aliran Syiah, yang merupakan majoriti di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain dan Lubnan, di samping jumlah besar di sebahagian Arab Saudi, Yaman dan Pakistan, adalah mazhab kedua terbesar dalam Islam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama di Malaysia menganggap aliran itu sesat menerusi fatwa-fatwa yang dikeluarkan mufti.

Tidak lama dulu, teks khutbah rasmi yang disampaikan di masjid-masjid Selangor menyelitkan doa mengutuk golongan Syiah.

Farouk merupakan antara sarjana Islam yang kian mempersoalkan serangan terhadap pengikut Syiah, khususnya menjelang perang di Timur Tengah yang menyaksikan tokoh Islam – termasuk agamawan Wahabi yang sebelum ini lantang membidas Iran – menggesa umat Islam mengetepikan perbezaan mazhab dan menyokong perjuangan Iran yang berjaya bertahan lebih empat bulan daripada serangan AS-Israel.

Menurut Farouk, meskipun amalan mengutuk aliran Syiah tidak lagi kedengaran dalam khutbah, pihak berkuasa agama masih mempromosikan versi Islam yang sempit yang hanya mengiktiraf sebahagian kecil tradisi ilmu Islam.

Pada 2024,  langkah pentadbiran Anwar mewujudkan akta baharu untuk tadbir urus Islam mengundang kecaman pelbagai pihak kerana bersifat sektarian, di samping mengiktiraf hanya dua cabang ilmu dalam aliran Sunnah.

“Saya rasa soalan sempit macam teologi ni tidak sepatutnya menjadi tumpuan kerajaan pada hari ini sebab tak ada masalah pun selama ini. Kalau ada satu tarikat atau ada satu kumpulan yang memang jelas melanggar akidah, kita setuju ambil tindakan sebab kita adalah negara di mana tafsiran pihak berkuasa adalah (berdasarkan) Sunnah wal Jamaah, mazhab Syafi'i,” kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Farouk berkata beliau sudah mual dengan “amalan tahunan” Jais menyerbu majlis sambutan 10 Muharram.

“Maka tidak hairanlah dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid Selangor, terdapat doa supaya umat Islam hanya mengikuti aliran iktikad Asha’irah dan Maturidiyyah, mazhab Shafi’i, serta ajaran tasawuf Imam al-Ghazali dan Imam al-Junaid al-Baghdadi,” katanya, merujuk kepada teks khutbah Jumaat yang disediakan setiap minggu oleh Jais.

“Persoalannya, adakah terdapat kebebasan pemikiran atau dhamir dalam Islam? Selain Asha’irah dan Maturidiyyah, sejarah membuktikan wujudnya aliran Salafiyyah, Syiah, Ibadiyah, Muktazilah dan mazhab lain yang semuanya adalah ahl-ul-qiblah, bererti mereka menyembah hanya Allah. Mengapa begitu sukar untuk Jais memahami kepelbagaian ini?” soal Farouk.