- Iklan -
Berita

Peguam persoal KPN ‘langsung tiada bunyi’ dakwaan Anwar, Farhash dalang serbuan senjata dan dadah terhadap Yusoff Rawther

Gesaan menyiasat laporan polis Yusoff Rawther itu ketika tarikh perbicaraan kes saman serangan seksualnya terhadap perdana menteri masih tidak menentu.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Rafique Rashid (tengah), dibantu peguam Amirul Ar-Rasyid (kanan) dan Nurmustanir Md Nor, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 8 April 2026.
Rafique Rashid (tengah), dibantu peguam Amirul Ar-Rasyid (kanan) dan Nurmustanir Md Nor, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 8 April 2026.

Peguam mewakili Yusoff Rawther - pemuda berusia 33 tahun di sebalik saman serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim - sekali lagi mempersoalkan ketua polis negara (KPN) mengenai status laporan polis anak guamnya yang menuduh perdana menteri dan bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador, sebagai dalang yang memerangkapnya dengan tuduhan memiliki senjata api dan dadah sehingga membawa kepada serbuan kontroversi pada September 2024.

Rafique Rashid berkata setelah hampir dua tahun serbuan polis terhadap Yusoff, diikuti pembebasannya sembilan bulan kemudian, masih tiada sebarang  kemas kini sama ada Anwar dan Farhash disoal siasat berhubung dakwaan tersebut.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador.

“Pada 12 September 2024 laporan polis dibuat dengan jelas menamakan Anwar Ibrahim dan Farhash sebagai dua individu tersebut, dan juga dalam rakaman-rakaman percakapan Yusoff semasa beliau disiasat oleh pihak polis, beliau telah namakan dua individu ini. Sehingga sekarang, 'pin drop silence' (langsung tiada bunyi) daripada ketua polis negara.

"Jadi sekali lagi, atas semangat tatakelola yang dibawa oleh Anwar sendiri, kita nak tanya soalan ini kepada ketua polis negara, apa jadi kepada siasatan tersebut?” kata Rafique di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, mahkamah mendengar satu lagi permohonan Anwar yang mungkin boleh menyebabkan penangguhan perbicaraan kes saman serangan seksual Yusoff yang difailkan pada 2021.

Anwar melalui peguamnya memohon agar mahkamah memutuskan tiga persoalan mengenai dakwaan Yusoff dalam samannya, di samping permintaan agar ia dibincangkan secara jarak jauh dan bukan di mahkamah fizikal supaya dapat mengelak "perhatian orang ramai dan media".

"Isu-isu dan/atau persoalan-persoalan awal yang dibangkitkan hendaklah didengar dan diselesaikan melalui afidavit-afidavit, atau dalam alternatif, secara kamera dan/atau melalui komunikasi jarak jauh, dengan mengecualikan ahli media, orang awam, wartawan dan/atau mana-mana orang yang tidak terlibat secara langsung dalam prosiding," menurut notis difailkan firma guaman Christopher & Lee Ong lewat bulan lalu.

Yusoff Rawther merengkok selama sembilan bulan dalam penjara selepas serbuan polis ke atas keretanya, sehingga mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan memiliki dadah dan senjata api. Dia menegaskan barang-barang itu diletakkan sebagai perangkap oleh individu berkuasa.
Yusoff Rawther merengkok selama sembilan bulan dalam penjara selepas serbuan polis ke atas keretanya, sehingga mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan memiliki dadah dan senjata api. Dia menegaskan barang-barang itu diletakkan sebagai perangkap oleh individu berkuasa.

Persoalan yang dikemukakan termasuk dakwaan oleh Yusoff bahawa setiausaha sulit Anwar, Shukri Saad, meminta Yusoff menyampaikan sendiri sebuah teks ucapan kepada presiden PKR itu di kediamannya di Bukit Segambut Dalam pada 2 Oktober 2018, iaitu hari serangan seksual itu didakwa berlaku.

Anwar turut mempertikaikan dakwaan bahawa pegawai keselamatannya, Norafee Ahmad @ Dekdi, telah menemani Yusoff ke rumah itu, di samping mempersoalkan sama ada pertemuan antara Yusoff dan Anwar benar-benar berlaku.

Anwar juga mendakwa anaknya Nurul Nuha Anwar berada bersamanya pada setiap masa ketika serangan yang didakwa itu dikatakan berlaku.

Permohonan itu difailkan beberapa hari selepas Anwar selesai membayar kos RM50,000 kepada Yusoff kerana menyebabkan kelewatan kes saman serangan seksual akibat permohonan imuniti oleh perdana menteri, yang kemudiannya dibatalkan bulan lalu.

Mahkamah dijangka membuat keputusan mengenai permohonan terkini Anwar pada 4 Mei.

‘Yusoff hendak datang ke mahkamah’

Menurut Rafique, hakim hari ini mengingatkan peguam Anwar untuk memberitahu mahkamah sekiranya terdapat sebarang persoalan atau permohonan lain oleh pihak pembelaan.

Beliau menganggap ia merupakan isyarat hakim mahu perbicaraan dimulakan tanpa penangguhan.

Menurutnya, anak guamnya sudah lama bersedia untuk berdepan Anwar di mahkamah.

“Yang saya boleh sahkan adalah Yusoff hendak datang ke mahkamah dan jalankan kes ini secepat yang mungkin kerana dia harus diberi peluang untuk meletakkan kes dia dan dia harus diberi peluang berdepan dengan orang yang menyerangnya” kata Rafique.

Dalam saman yang difailkan oleh Yusoff, yang pernah bertugas di pejabat banglo Anwar di Petaling Jaya, pemuda itu mendakwa pemimpin PKR itu menyerangnya secara seksual pada 2 Oktober 2018, beberapa hari sebelum beliau memenangi pilihan raya kecil Port Dickson.

Yusoff memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Anwar telah melakukan serangan seksual itu, di samping ganti rugi am, teladan dan teruk kerana mengalami trauma dan gangguan fizikal, psikologi dan sosiologi akibat kejadian yang didakwa itu.

Anwar telah menafikan tuduhan terhadapnya.

Tiga minggu sebelum perbicaraan saman itu dijadualkan bermula pada 16 Jun tahun lepas, Anwar membuat kejutan dengan permohonan mendapatkan imuniti kepada dirinya serta penangguhan kes.

Permohonan kontroversi itu difailkan ketika Yusoff masih direman di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu keputusan pertuduhan dadah dan senjata api ke atasnya.

Pada 12 Jun, mahkamah membebaskan Yusoff daripada tuduhan tersebut, selepas perbicaraan yang menyaksikan saksi pendakwaan membuat kenyataan bercanggah ketika pemeriksaan balas, sekali gus menguatkan spekulasi beliau merupakan mangsa konspirasi oleh individu yang mempunyai hubungan politik.

Dalam laporan polisnya, Yusoff menamakan Anwar dan Farhash sebagai antara individu yang berdendam terhadapnya.

Rafique hari ini mengingatkan pihak berkuasa bahawa ketiadaan apa-apa penjelasan mengenai status laporan polis itu hanya mengesahkan kebimbangan rakyat tentang kewujudan dua darjat dalam pelaksanaan keadilan.

"Kalau tidak ada jawapan daripada ketua polis negara, maka benarlah di Malaysia ini, kalau anda perdana menteri, anda berkuasa, anda berkawan baik pada perdana menteri dan anda individu yang begitu baik dengan perdana menteri, anda tidak akan disoal. Tetapi kalau anda membangkang perdana menteri, kereta polis akan datang jam 3 pagi," kata Rafique, merujuk kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 2023, yang mengugut sesiapa yang mengkritiknya akan didatangi kereta polis.