Bloomberg dakwa Anwar sekat dedah laporan jawatankuasa siasat saham Azam
Laporan itu muncul di tengah spekulasi siasatan kerajaan mendapati ketua SPRM memiliki pegangan saham lebih RM14 juta.
Terkini
Bloomberg hari ini mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghalang laporan hasil siasatan terhadap pegangan saham Azam Baki daripada didedahkan kepada umum, di tengah spekulasi bahawa jawatankuasa siasatan kerajaan telah mendapati sekurang-kurangnya RM14 juta saham di bawah nama ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Laporan itu juga mendakwa Azam, yang tempoh perkhidmatannya di SPRM berkemungkinan tidak dilanjutkan di sebalik gesaan supaya beliau dipecat, kini dalam usaha dirinya dilantik sebagai senator, jawatan yang memerlukan Anwar mengesyorkannya kepada Agong.
Menurut Bloomberg, Azam dan Pejabat Perdana Menteri tidak memberikan respons terhadap dakwaan tersebut.
MalaysiaNow juga telah menghubungi ketua SPRM itu.
Dalam laporannya hari ini, Bloomberg memetik sumber yang berkata Anwar meminta laporan oleh jawatankuasa kerajaan yang menyiasat pegangan saham Azam, yang telah dibentangkan kepada Kabinet bulan ini, tidak didedahkan kepada umum sehingga selesai siasatan berasingan berkenaan tuduhan SPRM bersekongkol dengan kumpulan dikenali sebagai "mafia korporat".
"Kebimbangan Anwar ialah pendedahan laporan pegangan saham itu kepada umum akan menjejaskan persepsi terhadap kerajaannya menjelang pilihan raya umum yang mungkin diadakan seawal tahun ini," kata laporan itu, memetik sumber.
Ia ketika persoalan dibangkitkan berhubung spekulasi bahawa jawatankuasa siasatan tiga anggota dipengerusikan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokthar mendapati Azam memegang saham bernilai lebih RM14 juta melibatkan sembilan syarikat, jauh melebihi jumlah yang dilaporkan Bloomberg sebelum ini.
Pada Februari, Bloomberg melaporkan Azam memegang berjuta-juta saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat tersenarai, yang melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.
Azam berkata saham tersebut dibeli tahun lalu, ketika beliau masih menjadi ketua SPRM.
Pada 12 Februari, satu lagi laporan Bloomberg mengaitkan Azam dengan kumpulan dikenali sebagai "mafia korporat", yang didakwa berpakat dengan SPRM untuk memaksa ahli perniagaan melepaskan pegangan mereka dalam syarikat awam tersenarai secara paksa.
Pendedahan itu mencetuskan gesaan agar Azam disingkirkan daripada SPRM dan supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasatnya.
Anwar, yang sebelum ini melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali, setakat ini enggan menggantikan Azam.
"Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa? Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? Salah," kata Anwar ketika menjawab soalan wartawan.
Anwar kemudian mengumumkan penubuhan jawatankuasa tiga anggota untuk menyiasat dakwaan mengenai pegangan saham Azam.
Selain peguam negara yang mempengerusikannya, ia turut dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Pada 11 Mac, kerajaan mengesahkan menerima laporan daripada jawatankuasa siasatan itu, tetapi tidak mengumumkan penemuannya.
Sebaliknya, kerajaan berkata ia telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mengambil tindakan disiplin susulan.
Pada 13 Mac, Ahli Parlimen Pandan dan bekas menteri Rafizi Ramli memetik sumber kerajaan yang memberitahunya bahawa jawatankuasa itu mendapati Azam memiliki saham bernilai RM14 juta, dan menggesa Putrajaya menjelaskan perkara itu.
"Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta dalam 9 syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Azam Baki akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindungi Azam Baki," katanya.
Laporan Bloomberg hari ini muncul di tengah dakwaan mengejutkan ahli perniagaan Victor Chin, yang menjadi sasaran siasatan polis berhubung "mafia korporat".
Chin mendedahkan dokumen dan mengeluarkan siri kenyataan bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.
Sebaliknya, beliau berkata dirinya adalah mangsa "mafia korporat", sambil mendakwa seorang ahli Parlimen PKR telah menerima wang RM9.5 juta daripadanya selepas berjanji menghalang "mafia korporat" daripada mengambil alih syarikatnya.
Chin mengugut untuk mendedahkan identiti ahli politik itu jika wangnya tidak dikembalikan menjelang 31 Mac.
Terdapat dakwaan individu itu merupakan seorang menteri dalam Kabinet Anwar dan mewakili kerusi Parlimen di Lembah Klang.
Sehari selepas dakwaan Chin, Menteri Sumber Manusia R Ramanan mengadakan sidang akhbar mengejut, mencabar Chin menamakannya supaya tindakan undang-undang dapat diambil.
Susulan itu, Rafizi dalam podcastnya "Yang Berhenti Menteri" menjangkakan ahli Parlimen tersebut akan memulangkan wang itu kepada Chin dan, oleh itu, identitinya tidak akan didedahkan kepada umum.
Dalam episod seterusnya, Rafizi berkata beliau dimaklumkan wang itu telah dipulangkan kepada Chin.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
