- Iklan -
Berita

'Lu siapa?' Loke serang Akmal, gesa penyokong DAP lawan balik

Kenyataan Anthony Loke dalam sebuah podcast berbahasa Cina itu mendapat perhatian ketika ahli Umno mempersoalkan kerjasama dengan DAP.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bercakap dalam sebuah podcast berbahasa Cina, di mana beliau menggesa masyarakat Cina untuk 'melawan balik' Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bercakap dalam sebuah podcast berbahasa Cina, di mana beliau menggesa masyarakat Cina untuk 'melawan balik' Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke melancarkan serangan tajam terhadap Dr Akmal Saleh, sambil berkata tindakan ketua Pemuda Umno itu sejak kebelakangan ini merupakan kesan daripada politik yang "sangat dipengaruhi agama".

"Apabila politik sangat dipengaruhi oleh agama, atau apabila politik perkauman itu kuat, orang seperti ini akan sentiasa ada," Loke baru-baru ini memberitahu sebuah podcast berbahasa Cina, BBK Network.

Kenyataan itu bakal meningkatkan kemarahan dalam kalangan akar umbi Umno yang semakin tidak selesa dengan apa yang dilihat sebagai kuasa DAP yang semakin dominan dalam kerajaan.

Pengacara podcast kemudian bertanya bagaimana DAP perlu menjawab Akmal. Sambil memberikan analogi DAP sebagai seekor "singa", Loke turut ditanya sama ada parti itu perlu "menyalak terhadap anjing-anjing".

Loke berkata sebagai pemimpin tinggi DAP, beliau tidak sama taraf dengan Akmal, dan oleh itu tidak perlu sentiasa menjawab pelbagai tuduhan seperti dalam kontroversi "stokin Allah" KK Mart, bendera terbalik, dan pembukaan sebuah pusat beli-belah mesra haiwan di Selangor.

Menurut Loke, sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai hak sama rata, masyarakat Cina perlu melawan Akmal sekiranya kesetiaan mereka dipersoalkan.

"Anda harus lawan balik. Siapa kamu untuk mempersoalkan kesetiaan saya? Lu siapa?" kata Loke, meminjam ayat digunakan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, ketika menyerang Akmal baru-baru ini.

"Kenapa biarkan satu orang ini menjadikan anda tebusan?"

'Katakan dalam bahasa Melayu'

Sementara itu, pendedah maklumat terkenal Albert Tei, ketika mengulas kenyataan Loke, mendakwa pemimpin DAP itu hanya berani menentang Akmal ketika berucap kepada masyarakat Cina.

"Beliau hanya berani cakap perkara tersebut di dalam bahasa Cina untuk menayangkan kewibawaan dan kegagahannya kepada masyarakat Cina," kata Tei dalam saluran YouTube "Reformati".

Pendedah maklumat Albert Tei, dalam salah satu video di saluran YouTube 'Reformati'.
Pendedah maklumat Albert Tei, dalam salah satu video di saluran YouTube 'Reformati'.

Saluran "Reformati" dilancarkan Tei baru-baru ini sebagai wadah menyuarakan kritikan terhadap ahli politik kerajaan, sambil memakai baju lokap oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Minggu lalu, Tei, orang di sebalik pendedahan kes rasuah berprofil tinggi termasuk skandal rasuah melibatkan Pejabat Perdana Menteri, memfailkan saman terhadap SPRM kerana memaksanya memakai baju lokap oren walaupun belum didakwa atau disabitkan kesalahan.

Tei mencabar Loke supaya mengulangi kritikannya terhadap Akmal dalam bahasa Melayu.

"Cakap dalam Bahasa Melayu, apa arahannya kepada masyarakat Cina berhubung tindakan balas terhadap Akmal Saleh," katanya.

Kemarahan Umno

Petikan video podcast menampilkan Loke itu tersebar ketika perang mulut antara segelintir pemimpin Umno dan DAP, sehingga memaksa pemimpin tertinggi parti bertungkus lumus meredakan kemarahan semakin meningkat di Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung.

Akmal baru-baru ini menyerang pimpinan DAP kerana meraikan dua keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Najib Razak, di mana pada 26 Disember tempoh hukuman penjaranya dilanjutkan selama 15 tahun lagi, sementara mahkamah berasingan menolak "titah adendum" bekas Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya membenarkan bekas presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Tindakan Akmal tidak disenangi pemimpin tertinggi Umno, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, yang menegurnya kerana menyerang DAP.

Dr Akmal Saleh ketika diberikan sambutan gemuruh di Perhimpunan Agung Pemuda Umno hari ini.
Dr Akmal Saleh ketika diberikan sambutan gemuruh di Perhimpunan Agung Pemuda Umno hari ini.

Walaupun Akmal tidak melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno, beliau hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli exco kerajaan negeri Melaka.

Dalam ucapannya kepada perwakilan Pemuda Umno, Akmal menegaskan keputusan itu dibuat kerana beliau enggan bekerjasama dengan DAP, yang juga sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Umno.

"Bagi saya, jawatan dalam kerajaan tidak penting. Tapi apa yang lebih penting ialah maruah, prinsip dan suara akar umbi ini.

"Saya nak bagitau kepada yang tanya 'lu siapa?' Saya nak jawab, 'gua ada maruah, lu ada maruah ke tidak?'" katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno hari ini.

Akmal berikrar untuk "melawan DAP habis-habisan".

"Saya letak jawatan saya sebagai exco untuk lawan DAP habis-habisan."