- Iklan -
Luar Sana

PM baru Thailand adakan perbincangan dengan CEO Tesla Musk

Srettha Thavisin berkata pertemuan dengan Musk antara lain membincangkan mengenai pengeluar EV Tesla dan syarikat roket dan satelitnya SpaceX, termasuk usaha niaga perkhidmatan internet Starlink.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk. Gambar: Reuters
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Elon Musk semalam sewaktu lawatan ke New York dan mereka membincangkan industri kenderaan elektrik (EV). 

Thailand, hab pemasangan kereta keempat terbesar di Asia, menawarkan insentif kepada pengeluar EV dan bateri, serta pemotongan cukai kepada pembeli EV tempatan, untuk kekal sebagai pusat kereta serantau. 

Srettha, yang berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, berkata pertemuan dengan Musk antara lain membincangkan mengenai pengeluar EV Tesla dan syarikat roket dan satelitnya SpaceX, termasuk usaha niaga perkhidmatan internet Starlink. 

"Kami menantikan perbincangan lanjut," kata Srettha di Twitter.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Thailand berkata Srettha ada memberitahu Musk dalam sidang video bahawa pentadbirannya bersedia untuk menyokong pelaburan dalam rangka kerja insentif sedia ada.

"Tesla memuji modal insan Thai, yang sesuai untuk pelaburan," kata kenyataan itu. 

Pengeluar kereta yang mempunyai kilang di Thailand termasuk Toyota dan Honda. 

Negara ini mengeluarkan kira-kira 1.5 juta hingga dua juta kenderaan setiap tahun, di mana kira-kira separuh daripadanya dieksport. 

EV semakin mendapat tempat di Asia Tenggara, pasaran yang dikuasai oleh pengeluar kereta dari Jepun.

Menurut data Counterpoint Research, EV menyumbang 6.4% daripada semua jualan kereta penumpang di rantau ini pada suku kedua, meningkat daripada 3.8% pada suku pertama. 

Kira-kira separuh daripada semua jualan EV serantau adalah dari Thailand, diikuti Vietnam dan Indonesia, dengan pengeluar kereta China seperti BYD mendahului dengan margin yang luas. 

Tesla, juga popular di Thailand, melancarkan model dalam pasaran yang semakin berkembang tahun lepas. 

Asia Tenggara menyumbang kurang 1% daripada jualan global Tesla, menurut Counterpoint.