- Iklan -
Luar Sana

Pheu Thai akan bentuk pakatan baharu tanpa Move Forward

Parti itu akan mencalonkan usahawan hartanah Srettha Thavisin sebagai calon perdana menteri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Usahawan hartanah Srettha Thavisin (kiri) bersama Paetongtarn Shinawatra (kanan), anak perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra ketika menghadiri perhimpunan besar menjelang pilihan raya Thailand, di Bangkok, 12 Mei. Gambar: Reuters
Usahawan hartanah Srettha Thavisin (kiri) bersama Paetongtarn Shinawatra (kanan), anak perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra ketika menghadiri perhimpunan besar menjelang pilihan raya Thailand, di Bangkok, 12 Mei. Gambar: Reuters

Parti Pheu Thai, parti kedua terbesar di Dewan Rakyat Thailand pada Rabu mengumumkan gabungan baharu untuk membentuk kerajaan apabila Parlimen bersidang semula pada Jumaat, tanpa Parti Move Forward.

Pheu Thai yang memenangi 141 kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei, berkata parti itu akan mencalonkan usahawan hartanah Srettha Thavisin sebagai calon perdana menteri.

Ketuanya Cholnan Srikaew berkata pada mesyuarat yang berlangsung pada Rabu, parti itu telah berunding dengan Move Forward yang memenangi 151 kerusi supaya parti itu menarik diri.

“Pheu Thai dan Srettha tidak akan menyokong pindaan Artikel 112 atau undang-undang lese-majeste, seperti yang diperjuangkan oleh Move Forward.

“Kerajaan baharu tidak bergabung dengan Move Forward. Pheu Thai akan cuba mengumpul sokongan untuk membentuk kerajaan seterusnya. Move Forward akan menjadi pembangkang,” katanya pada sidang media pada Rabu. 

Beliau berkata parti itu akan mengumumkan gabungan baharu pada Khamis.

Selepas PRU 14 Mei, Move Forward dan Pheu Thai membentuk gabungan dengan enam parti lain dan  memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Gabungan itu memerlukan sokongan tambahan untuk mendapatkan 375 daripada 750 undi daripada Ahli Parlimen dwidewan itu untuk membentuk kerajaan.

Pita Limjaroenrat dari Move Forward gagal mendapatkan sokongan yang mencukupi pada 13 Julai lalu untuk dipilih sebagai perdana menteri baharu.

Undian prosedur enam hari kemudian memutuskan bahawa beliau tidak boleh dicalonkan untuk kali kedua, sekali gus menamatkan usaha Pita. Berikutan itu, Pheu Thai mengambil alih tanggungjawab untuk mengetuai gabungan itu.

Sementara itu, setiausaha agung Move Forward Chaithawat Tulathon berkata alasan yang diberikan untuk menggugurkan parti itu daripada gabungan tersebut tidak lebih daripada alasan untuk menyekat parti berkenaan daripada berkuasa.

Beliau berkata Pheu Thai tidak pernah meminta Move Forward menggugurkan rancangan mereka untuk meminda undang-undang lese majeste.

“Kuasa (politik) lama tidak mahu melihat kerajaan yang diterajui Move Forward,” katanya.

Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di luar ibu pejabat Pheu Thai di Bangkok untuk menyuarakan kemarahan mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.