- Iklan -
Luar Sana

Joe Biden isytihar darurat di Vermont akibat banjir

Beliau telah mengarahkan bantuan Persekutuan untuk menambah usaha tindak balas tempatan di negeri timur laut AS.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk yang menaiki sampan dan pendayung melepasi kereta yang sebahagiannya ditenggelami air banjir akibat ribut di Montpelier, Vermont baru-baru ini, 11 Julai. Gambar: Reuters
Penduduk yang menaiki sampan dan pendayung melepasi kereta yang sebahagiannya ditenggelami air banjir akibat ribut di Montpelier, Vermont baru-baru ini, 11 Julai. Gambar: Reuters

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Selasa mengisytiharkan darurat di Vermont ketika negeri itu dilanda banjir besar.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata Biden telah mengarahkan bantuan Persekutuan untuk menambah usaha tindak balas tempatan di negeri timur laut AS berikutan keadaan kecemasan di kawasan yang terjejas banjir sejak Ahad dan hari berikutnya.

"Ibu negeri Vermont dan banyak komuniti lain di seluruh negeri ditenggelami air. Kemusnahan dan banjir yang kami alami di seluruh Vermont adalah bersejarah dan malapetaka," ciap Gabenor Vermont Phil Scott di Twitter pada Selasa.

Hujan lebat memaksa penutupan jalan, pemindahan dan penyelamatan. Beberapa kawasan menyaksikan hujan lebih sembilan inci (228 milimeter) semasa "ribut dan hujan dua hari yang bersejarah", menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, lapor Xinhua.

"Walaupun cuaca baik di beberapa tempat, ancaman banjir belum berakhir," Jabatan Kesihatan Vermont memberi amaran kepada penduduk tempatan dalam ciapan pada Selasa.

Pegawai berkata banjir mewujudkan keadaan air yang bergerak pantas, berbahaya dan berpotensi tercemar yang boleh berlanjutan selama beberapa hari.

Orang ramai masih terperangkap di dalam rumah dan kereta. Beberapa kawasan juga terlalu berbahaya untuk dilalui dengan bot dan lima helikopter digunakan untuk mencari dan menyelamatkan orang ramai, lapor stesen TV tempatan WCAX, sambil menambah bahawa dron juga akan digunakan untuk mengesan penduduk terperangkap.

Terdapat lebih daripada 110 usaha menyelamat setakat ini dan Pengawal Kebangsaan Vermont dikerah pada pagi Selasa ke kawasan yang terjejas teruk untuk membantu, menurut laporan itu.