- Iklan -
Luar Sana

PM Thailand Prayuth umum bersara dari arena politik

Pengumuman itu sudah dijangka selepas partinya hanya memenangi 36 daripada 500 kerusi dewan pada Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha. Gambar: Reuters

Perdana Menteri sementara Thailand Prayuth Chan-o-cha mengumumkan persaraannya daripada arena politik, beberapa hari sebelum Parlimen bersidang mengadakan undian memilih perdana menteri baharu. 

Bekas ketua tentera yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014 dan kemudian dilantik sebagai perdana menteri pada pilihan raya 2019 berkata beliau turut meletak jawatan  dalam Parti United Thai Nation (UTN).

“Saya harap rakyat terus percaya dan menyokong UTN,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook UTN.

Pengumuman itu sudah dijangka selepas UTN hanya memenangi 36 daripada 500 kerusi dewan pada Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lalu.

Pada Isnin, ketua parti UTN Pirapan Salirathavibhag berkata parti itu tidak akan mencalonkan Prayuth sebagai calon perdana menteri parti itu. 

Beliau juga mengumumkan bahawa parti itu tidak akan mencalonkan perdana menteri.

Prayuth yang berusia 69 tahun berkata beliau telah mencapai "banyak kejayaan" sepanjang tempoh sembilan tahun pentadbirannya.

“Saya telah bekerja dengan tekad dan penuh dedikasi untuk melindungi negara, agama, dan sistem beraja demi kepentingan rakyat. Ia mendatangkan keuntungan untuk rakyat.

“Saya berharap kerajaan akan datang akan terus memajukan negara,” katanya.

Prayuth telah berdepan pelbagai cabaran termasuk kes mahkamah, usul undi tidak percaya dan protes jalanan sepanjang sembilan tahun memegang jawatan perdana menteri. 

Parlimen baharu akan bersidang pada Khamis untuk mengadakan undian memilih perdana menteri baharu. 

Perdana menteri perlu memperoleh sekurang-kurangnya 376 undi.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi