- Iklan -
Luar Sana

Ratusan penyokong Pita berkumpul tunjukkan sokongan menjelang pemilihan PM

Pita berdepan laluan sukar untuk dilantik sebagai perdana menteri walaupun mencatat kemenangan menakjubkan dalam pilihan raya Mei lalu yang menyaksikan rakyat Thailand menolak hampir sembilan tahun kerajaan yang disokong tentera.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat melambai sewaktu perhimpunan mengucapkan terima kasih kepada pengundi menjelang pemilihan perdana menteri baharu pada 13 Julai, di Bangkok, Thailand, 9 Julai. Gambar: Reuters
Pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat melambai sewaktu perhimpunan mengucapkan terima kasih kepada pengundi menjelang pemilihan perdana menteri baharu pada 13 Julai, di Bangkok, Thailand, 9 Julai. Gambar: Reuters

Ratusan penyokong calon perdana menteri Thailand Pita Limjaroenrat berhimpun di ibu negara pada Ahad menjelang undian Parlimen bagi perdana menteri baharu minggu depan. 

Pita, ketua Parti Move Forward yang progresif, berdepan laluan sukar untuk dilantik sebagai perdana menteri walaupun mencatat kemenangan menakjubkan dalam pilihan raya Mei lalu yang menyaksikan rakyat Thailand menolak hampir sembilan tahun kerajaan yang disokong tentera. 

Beliau kini perlu mendapatkan sokongan daripada Senat yang tidak dipilih untuk menjadi perdana menteri bagi menggantikan penyandang Prayuth Chan-ocha dalam undian yang ditetapkan pada 13 Julai.

Pakatan lapan partinya mempunyai 312 kerusi di Parlimen, tetapi beliau memerlukan sekurang-kurangnya 376 undi dalam sidang bersama badan perundangan dwikameral, termasuk 250 ahli dewan atasan yang dilantik semasa pemerintahan tentera.

Pita berkata rundingan dengan senator sedang diadakan dan mereka tidak sepatutnya mengundi bertentangan dengan kehendak rakyat. 

"Kami meminta mereka untuk mengundi demokrasi, untuk majoriti, dan kembali normal kepada politik Thailand, jadi kami akhirnya boleh bergerak ke hadapan," katanya kepada penyokong berpakaian oren pada Ahad. 

Penyokong Jaturong Soisri, 28, berkata hari mengundi "akan menentukan ke mana masa depan kita akan dibawa. Kita perlu bersatu bersama".