Presiden Filipina Ferdinand Marcos hari ini menghapuskan AS$1.04 bilion (kira-kira RM4.85 bilion) hutang berkaitan tanah oleh lebih setengah juta petani, satu langkah yang bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran makanan.
"New Agrarian Emancipation Act" yang ditandatanganinya mengenepikan semua hutang petani yang telah diberikan tanah pada tempoh pembayaran 30 tahun di bawah program reformasi tanah 1988, tetapi tidak dapat melunaskannya.
"Kami tahu petani ini tidak mempunyai kemampuan untuk membayar hutang yang besar ini. Jadi meletakkannya di bawah tanggungan kerajaan adalah perkara yang betul untuk dilakukan," kata Marcos pada majlis menandatangani perjanjian di istana presiden.
Tambahnya, penghapusan pinjaman, yang dikeluarkan oleh bank kerajaan, bermakna "kami melakukan segala-galanya untuk memberi makan kepada rakyat kami".
Mengikut undang-undang yang diluluskan kira-kira setahun selepas bapanya digulingkan dalam pemberontakan "Kuasa Rakyat" pada 1986, kira-kira 4.8 juta hektar (11.9 juta ekar) plot telah diagihkan kepada hampir tiga juta petani tanpa tanah.
Jumlah itu bersamaan 16% daripada keluasan tanah negara.
Kongres meluluskan undang-undang baharu itu kerana hampir 1.2 juta hektar tanah ladang yang diagihkan semula tidak dibayar, dengan sumbangan sektor ladang kepada pengeluaran ekonomi negara semakin berkurangan.
Penghapusan hutang itu akan memanfaatkan lebih 610,000 penerima reformasi tanah tetapi akan menelan belanja kerajaan sebanyak AS$1.04 bilion, kata Marcos.
Kerajaan akan membelanjakan 206 juta peso lagi untuk membayar pampasan kepada pemilik tanah yang hartanya dipindahkan kepada penyewa, tambahnya.
“Kita perlu menggiatkan semula sektor pertanian,” kata Marcos, yang juga menteri pertanian.
Selepas pemilihannya tahun lalu, negara itu dilanda kekurangan bekalan makanan dan harga komoditi ladang yang melambung tinggi, termasuk bawang dan gula, manakala import beras, makanan ruji, juga melonjak.