- Iklan -
Luar Sana

4 mangsa kritikal susulan letupan bangunan di Paris

Letupan itu diikuti dengan kebakaran besar yang menyebabkan bangunan itu, yang menempatkan sebuah sekolah fesyen, runtuh di daerah bersejarah ibu kota Perancis.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Polis Perancis mengawal kawasan kejadian ketika anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran selepas beberapa bangunan terbakar susulan letupan gas di Paris, Perancis, 21 Jun. Gambar: Reuters
Polis Perancis mengawal kawasan kejadian ketika anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran selepas beberapa bangunan terbakar susulan letupan gas di Paris, Perancis, 21 Jun. Gambar: Reuters

Satu letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas melanda sebuat bangunan di tengah Paris semalam, menyebabkan empat orang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kemusnahan teruk, kata pegawai.

Menurut Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin, pasukan penyelamat pada sebelah petang masih mencari dua individu yang masih hilang akibat runtuhan itu.

Beliau memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa empat mangsa yang cedera parah berada dalam kritikal, manakala 33 lagi cedera ringan. 

Letupan itu diikuti dengan kebakaran besar yang menyebabkan bangunan itu, yang menempatkan sebuah sekolah fesyen, runtuh di daerah bersejarah ibu kota Perancis. 

Imej menunjukkan serpihan bersepah di kawasan sekitar bangunan, ketika api marak.

Kira-kira 70 jentera dan 270 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran. Sembilan doktor turut berada di tempat kejadian. 

Perkhidmatan bomba berkata telah berlaku "letupan" yang telah "menyebabkan dua bangunan runtuh", tetapi polis kemudian berkata hanya satu bangunan runtuh. 

Beberapa saksi memberitahu AFP di tempat kejadian mereka telah mendengar "letupan kuat". 

Menurut wartawan AFP, tingkap berkecai sejauh 400 meter. 

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo mengumpulkan unit krisis dan menulis di Twitter: "Fikiran saya terlebih dahulu kepada mangsa dan orang tersayang mereka." 

Kebakaran yang berlaku selepas letupan itu kini telah "dipadamkan", kata ketua polis Paris Laurent Nunez di tempat kejadian, sambil menambah bahawa "kerja-kerja menyelamat masih dijalankan di bawah runtuhan" untuk mencari lebih banyak mangsa yang terperangkap.

Menurut Nunez, anggota bomba "berjaya menghalang api daripada merebak ke dua bangunan bersebelahan yang serius tidak stabil akibat letupan". 

Letupan itu disebabkan oleh "letupan gas", kata datuk bandar daerah itu di Twitter, walaupun ini tidak disahkan oleh pegawai lain. 

Datuk Bandar Daerah ke-5 di tengah Paris, Florence Berthout berkata bangunan utama yang terjejas ialah sekolah fesyen swasta – yang dikenali sebagai Paris American Academy – bersebelahan dengan bekas hospital tentera Val-de-Grace. 

Menurut datuk bandar, bunyi letupan "agak besar" merebak "di sebahagian daerah". 

Siasatan mengenai punca letupan dilancarkan serta-merta, kata pendakwa raya.