- Iklan -
Luar Sana

Indonesia, SpaceX berjaya lancar satelit Satria-1

Satria-1 ialah satelit pelbagai fungsi milik kerajaan pertama di Asia dengan kapasiti terbesar.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail kapsul SpaceX Falcon 9 yang membawa 4 anak kapal ke Stesen Angkasa Antarabangsa, berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, Amerika Syarikat, 21 Mei. Gambar: Reuters
Gambar fail kapsul SpaceX Falcon 9 yang membawa 4 anak kapal ke Stesen Angkasa Antarabangsa, berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, Amerika Syarikat, 21 Mei. Gambar: Reuters

Indonesia melancarkan satelit Satria-1 untuk merevolusikan sambungan internet dan merapatkan jurang digital, kata pemangku Menteri Komunikasi dan Informatik Mahfud Md.

Satelit itu berjaya dilancarkan ke orbit oleh roket SpaceX Falcon 9 dari Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat pada 18 Jun, 6.21 petang waktu tempatan (5.21 pagi waktu Indonesia barat) hari ini.

Mahfud dalam satu kenyataan berkata satelit itu yang akan mula beroperasi pada Januari tahun depan menyediakan kualiti internet yang lebih baik ke kawasan luar bandar Indonesia.

“Satria-1 akan menangani keperluan capaian internet khususnya untuk perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan kerajaan termasuk pertahanan dan keselamatan di pelbagai wilayah khususnya kawasan terpencil,” katanya.

Satelit itu dihasilkan oleh Thales Alenia Space, sebuah usaha sama oleh syarikat teknologi Perancis Thales Group dan konglomerat pertahanan Itali Leonardo yang beribu pejabat di Perancis.

“Satria-1 ialah satelit pelbagai fungsi milik kerajaan pertama di Asia dengan kapasiti terbesar,” menurut Presiden Joko Widodo, sambil menambah bahawa ia mengorbit di atas wilayah Papua.

Satelit seberat 4.5 tan dan mempunyai kapasiti jalur lebar 150 gigabit sesaat, dilaporkan berharga AS$540 juta (kira-kira RM2.49 bilion) dan mempunyai jangka hayat selama 15 tahun.