- Iklan -
Luar Sana

New Zealand haramkan vape pakai buang, elak digunakan kanak-kanak

Vape akan memerlukan mekanisme keselamatan lain, dengan mengharamkan nama yang menarik minat kanak-kanak, seperti "gula-gula kapas”, serta mempertimbangkan pembungkusan biasa.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Produk rokok elektronik atau vape pakai buang dipaparkan di kedai serbaneka pada 23 Jun 2022 di El Segundo, California. Gambar: AFP
Produk rokok elektronik atau vape pakai buang dipaparkan di kedai serbaneka pada 23 Jun 2022 di El Segundo, California. Gambar: AFP

New Zealand melancarkan langkah untuk mengekang tabiat menghisap vape oleh golongan muda, daripada mengehadkan jualan berhampiran sekolah kepada pengharaman beberapa unit pakai buang, dalam kempen agresif anti-merokok.

Meskipun New Zealand merekodkan kadar perokok dewasa terendah dalam kalangan 38 negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, namun negara Pasifik itu melarang generasi akan datang daripada merokok sebagai usaha ke arah "bebas asap rokok" menjelang 2025.

Menteri Kesihatan Dr Ayesha Verrall berkata perubahan itu, yang akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan mulai Ogos, muncul ekoran terlalu ramai golongan muda menggunakan vape, walaupun kerajaan mahu peranti itu tersedia sebagai alternatif kepada tabiat merokok. 

"Kami mencipta masa depan di mana produk tembakau tidak lagi menjadi ketagihan, menarik atau sedia ada, dan perkara yang sama perlu digunakan untuk vape," kata Verrall dalam satu kenyataan.

Mulai Ogos semua vape yang dijual di New Zealand perlu mempunyai bateri boleh tanggal atau boleh diganti, mengekang bekalan jenis pakai buang yang digemari oleh golongan muda, katanya. 

"Kami juga mahukan vape sejauh mungkin dari minda dan capaian kanak-kanak dan golongan muda," kata Verrall, sambil menambah bahawa kedai baharu akan dibenarkan buka sekurang-kurangnya 300m dari sekolah dan marae, atau ruang pertemuan untuk komuniti Maori. 

Vape akan memerlukan mekanisme keselamatan lain, dengan mengharamkan nama yang menarik minat kanak-kanak, seperti "gula-gula kapas”, serta mempertimbangkan pembungkusan biasa. 

"Ini adalah satu lagi cara kami menghentikan syarikat vape daripada membangunkan jenama tertentu yang menyasarkan golongan muda," kata Verrall pada sidang akhbar pada Selasa.