- Iklan -
Berita

Media tempatan di Pakistan diarah tidak buat liputan terhadap Imran Khan

Khan menjadi ahli politik yang paling banyak disiarkan di Pakistan sebelum ini, dengan ucapan dan perhimpunannya mendapat liputan dan tontonan meluas.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan bercakap dengan Reuters semasa wawancara, di Lahore, Pakistan, 17 Mac. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan bercakap dengan Reuters semasa wawancara, di Lahore, Pakistan, 17 Mac. Gambar: Reuters

Liputan terhadap bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan lenyap daripada semua saluran berita arus perdana di negara itu selepas pengawal selia media mengarahkan semua rangkaian televisyen tempatan untuk tidak menyiarkan laporan berkaitan individu yang terlibat dalam rusuhan bulan lalu, demikian menurut tinjauan Reuters pada Isnin.

Arahan, yang dilihat Reuters itu, telah dikeluarkan oleh pengawal selia minggu lalu merujuk kepada rusuhan di Pakistan bulan lalu berikutan penahanan Khan yang menyaksikan bangunan tentera digeledah, seperti didakwa penyokong bekas perdana menteri itu. 

Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Media Elektronik Pakistan (PEMRA) meminta pemegang lesen televisyen memastikan bahawa berita “berunsur kebencian, perusuh, fasilitator dan pelakunya” perlu “ditapis sepenuhnya daripada media”. Ia tidak merujuk langsung kepada Khan. 

Bagaimanapun, liputan mengenai bekas perdana menteri itu – pemimpin paling popular Pakistan itu – telah lenyap sehingga nama dan imejnya tidak disiarkan. Sebutannya juga telah hilang dari portal berita.

Reuters cuba mendapatkan maklum balas sama ada arahan itu adalah berkaitan dengan Khan daripada pegawai PEMRA namun tidak berjaya.

Khan menjadi ahli politik yang paling banyak disiarkan di Pakistan sebelum ini, dengan ucapan dan perhimpunannya mendapat liputan dan tontonan meluas. 

'Sekatan senyap' 

Larangan itu dibuat di tengah-tengah tindakan kejam yang lebih meluas terhadap Khan dan partinya yang menyaksikan puluhan ahli partinya serta ribuan penyokongnya ditangkap, yang didakwanya sedang dilakukan oleh tentera negara itu.

Tentera bagaimanapun belum mengulas mengenai dakwaan Khan itu. Tentera sebelum ini menafikan bahawa pasukan keselamatan Pakistan itu menjadi dalang kepada penyingkiran Khan dalam undi tidak percaya di Parlimen tahun lalu.

Khan sendiri telah ditangkap atas tuduhan rasuah tetapi dibebaskan dua hari kemudian selepas mahkamah menganggap cara penahanannya menyalahi undang-undang. Beliau diikat jamin, namun berdepan puluhan kes.

Dalam wawancara, Khan berkata bahawa insiden keganasan itu digunakan sebagai "alasan" untuk "sekatan senyap" ke atasnya dan partinya. 

“Kami tidak boleh disebut di televisyen,” kata Khan, yang kini kerap bercakap menerusi saluran YouTube partinya. 

Reuters cuba mendapatkan komen daripada pegawai kanan empat saluran berita utama negara itu namun tidak berjaya.

Malah, ARY News, yang dianggap sebagai saluran pro-Khan oleh musuh politik kepada bekas perdana menteri itu, tidak menyebut tentang Khan pada Isnin, meskipun laporan berkaitan tentera mendominasi tajuk berita di seluruh dunia selama beberapa minggu. 

"Laporan menyekat semua berita berkaitan Imran Khan adalah yang terbaru dalam siri langkah membimbangkan yang diambil pihak berkuasa untuk membanteras pembangkang," kata Timbalan Pengarah Asia Selatan di Amnesty International, Dinushika Dissanayake dalam satu kenyataan.