- Iklan -
Luar Sana

Pertubuhan Maritim Antarabangsa kutuk ujian peluru berpandu Korea Utara

Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, ini kali pertama jawatankuasa yang mengendalikan isu keselamatan maritim menerima pakai resolusi mengenai provokasi peluru berpandu Korea Utara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar daripada Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menunjukkan peluru berpandu balistik dilancarkan oleh tentera Korea Utara di lokasi yang tidak didedahkan, 15 Mac. Gambar: Reuters
Gambar daripada Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menunjukkan peluru berpandu balistik dilancarkan oleh tentera Korea Utara di lokasi yang tidak didedahkan, 15 Mac. Gambar: Reuters

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) buat kali pertama menerima pakai resolusi mengutuk sekeras-kerasnya ujian peluru berpandu Korea Utara, lapor Agensi Berita Yonhap. 

Resolusi yang diterima pakai pada sesi ke-107 Jawatankuasa Keselamatan Maritim (MSC) IMO di London pada Rabu (waktu tempatan) itu, mengecam pelancaran yang dilihat sebagai ancaman serius terhadap keselamatan pelayaran antarabangsa dan menggesa negara itu supaya mematuhi peraturan  sewajarnya, termasuk memberi notis awal sebelum sebarang ujian peluru berpandu dijalankan.

Dalam satu kenyataan akhbar, Kementerian Luar Korea Selatan menegaskan bahawa ia kali pertama jawatankuasa yang mengendalikan isu keselamatan maritim menerima pakai resolusi mengenai provokasi peluru berpandu Korea Utara walaupun telah mengecam ujian itu sebelum ini.

Korea Utara telah meningkatkan serangan baru-baru ini dengan melancarkan apa yang didakwanya sebagai "kenderaan pelancar angkasa lepas" yang membawa satelit peninjau tentera awal minggu ini.

Menurut kementerian itu, dokumen rasmi yang diterima pakai oleh IMO diklasifikasikan sebagai resolusi, pekeliling dan keputusan, dengan resolusi dianggap sebagai cadangan paling berkuasa kepada negara anggotanya.

Sebelum ini, pada 1998, 2006 dan 2016, MSC menerima pakai pekeliling yang menyatakan kebimbangan terhadap pelancaran peluru berpandu Pyongyang yang berterusan tanpa pemberitahuan terlebih dahulu kepada IMO.

Resolusi itu tidak mengikat di sisi undang-undang tetapi menawarkan cadangan mengenai hal ehwal maritim sebagai garis panduan kepada negara anggota IMO, sekali gus meningkatkan tekanan masyarakat antarabangsa terhadap Korea Utara.

IMO yang beribu pejabat di London ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab mengawal selia laluan perkapalan.