- Iklan -
Luar Sana

Shanghai rekod suhu tertinggi bulan Mei dalam tempoh 100 tahun

Beberapa wilayah di selatan China dijangka mengalami gelombang haba melampau dalam tempoh beberapa hari dan pakar kaji cuaca telah meramalkan satu lagi musim panas terik, mengulangi rekod lebih dua bulan tahun lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menggunakan kipas kertas sewaktu berkumpul di taman di tengah-tengah amaran gelombang haba di Shanghai, China 23 Julai 2022. Gambar: Reuters
Orang ramai menggunakan kipas kertas sewaktu berkumpul di taman di tengah-tengah amaran gelombang haba di Shanghai, China 23 Julai 2022. Gambar: Reuters

Shanghai menyaksikan keadaan paling panas pada Mei dalam tempoh 100 tahun semalam dengan suhu mencecah 36.1 darjah Celsius, sekali gus meneruskan trend cuaca luar biasa di negara itu sejak Mac.

Beberapa wilayah di selatan China dijangka mengalami gelombang haba melampau dalam tempoh beberapa hari dan pakar kaji cuaca telah meramalkan satu lagi musim panas terik, mengulangi rekod lebih dua bulan tahun lepas.

Suhu tertinggi direkodkan oleh Biro Meteorologi Shanghai pada Isnin mengatasi rekod pada bulan Mei tahun-tahun sebelumnya iaitu 35.7 darjah Celsius yang dicatatkan pada 1876, 1903, 1915 dan 2018, menurut statistik biro itu. 

Suhu di rantau ini biasanya meningkat lebih tinggi pada bulan Jun, Julai dan Ogos. 

Terdahulu, banyak kawasan di wilayah Sichuan, yang menempatkan lebih 80 juta penduduk, mengeluarkan amaran suhu tinggi, dengan beberapa kawasan mencapai suhu maksimum 42 darjah Celsius, lapor media tempatan. 

Menurut media tempatan, dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang, suhu maksimum di beberapa bandar di Sichuan, yang terletak di barat daya China, akan mencecah 38 darjah Celsius, dan 42 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Menurut Pentadbiran Meteorologi China, kebanyakan kawasan selatan China, termasuk wilayah Guizhou, Yunnan dan Sichuan, akan menyaksikan suhu meningkat melebihi 35 darjah Celsius, dengan beberapa kawasan mencecah 37 hingga 39 darjah Celsius hingga Rabu ini. 

China, yang terkenal dengan keadaan cuaca melampau, juga telah mengalami hujan lebat selama berminggu-minggu di beberapa wilayah. 

Menurut pihak berkuasa ribuan penduduk telah dipindahkan di timur laut wilayah Sichuan setakat Isnin, langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat di kawasan itu.

Sementara itu, perbandaran Chongqing yang berdekatan memberi amaran tentang risiko banjir pada Isnin, menjangkakan paras air di sungai Jialing, anak sungai Yangtze, meningkat kira-kira 6 meter pada Selasa berikutan hujan lebat.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.