- Iklan -
Luar Sana

Vietnam tuntut kapal China beredar dari Zon Ekonomi Eksklusif

Kedua-dua negara telah lama terlibat dalam pertikaian wilayah berhubung kawasan yang kaya dengan sumber tenaga semula jadi di Laut China Selatan.

Bernama & Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kapal Pengawal Marin Vietnam dilihat berhampiran kapal Pengawal Pantai China di Laut China Selatan, kira-kira 210km dari pantai Vietnam 14 Mei 2014. Gambar: Reuters
Sebuah kapal Pengawal Marin Vietnam dilihat berhampiran kapal Pengawal Pantai China di Laut China Selatan, kira-kira 210km dari pantai Vietnam 14 Mei 2014. Gambar: Reuters

Vietnam menuduh kapal peninjau dan pengiring China melanggar kedaulatannya semalam. Negara itu juga menuntut Beijing supaya membawa kapal berkenaan beredar dari perairannya.

Vietnam dan China telah lama terlibat dalam pertikaian wilayah berhubung kawasan yang kaya dengan sumber tenaga semula jadi di Laut China Selatan.

Laut China Selatan merupakan, laluan air strategik yang menyumbang hasil sebanyak AS$3 trilion (kira-kira RM14 trilion) kepada sektor perdagangan setiap tahun.

"Vietnam menuntut China segera membawa kapal peninjau Xiang Yang Hong 10, kapal pengawal pantai China dan kapal nelayan beredar dari perairan Vietnam," kata jurucakap Kementerian Luar Vietnam Pham Thu Hang dalam satu kenyataan. 

"Vietnam telah membuat hubungan dengan China beberapa kali dan melaksanakan langkah mengikut undang-undang antarabangsa dan perundangan Vietnam bagi menjamin hak dan kepentingan Vietnam yang sah," tambah kenyataan itu.

Reuters cuba menghubungi Kedutaan China di Hanoi untuk mendapatkan maklum balas namun tidak berjaya.

Minggu lalu Vietnam mengkritik tindakan terbaru kapal penyelidikan China di kawasan yang sama di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Asia Tenggara itu. 

China telah mengatakan bahawa penyelidikan saintifik adalah aktiviti biasa di kawasan di bawah bidang kuasa China. 

China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah wilayahnya, berdasarkan maklumat daripada peta lama termasuk perairan yang terletak dalam EEZ Vietnam dan empat negara Asia Tenggara yang lain.

Hang juga berkata Vietnam menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyertai usahanya dalam mengekalkan ketenteraman, keamanan dan keselamatan di Laut China Selatan serta menyumbang kepada pembangunan kepentingan bersama kedua-dua negara.