- Iklan -
Luar Sana

Peniaga bimbang selepas Move Forward pertimbang kawal semula ganja

Sejak dibenarkan penggunaannya, ribuan perniagaan muncul dengan banyak kedai di Bangkok dan kawasan pelancongan lain menawarkan 'Best Buds' kepada pelancong.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita bekerja di dalam kedai ganja, di Khaosan Road, salah satu tempat pelancongan di Bangkok, Thailand, 29 Mac. Gambar: Reuters
Seorang wanita bekerja di dalam kedai ganja, di Khaosan Road, salah satu tempat pelancongan di Bangkok, Thailand, 29 Mac. Gambar: Reuters

Cadangan parti Move Forward yang memenangi pilihan raya umum Thailand baru-baru ini untuk mengklasifikasikan semula ganja sebagai narkotik menimbulkan panik kepada industri itu yang diunjurkan bernilai AS$1.2 bilion (kira-kira RM5.5 bilion) dalam beberapa tahun akan datang.

Setahun lalu, ganja dibenarkan untuk ditanam, dijual dan digunakan di Thailand tanpa perlu bimbang ditahan pihak berkuasa dan dikenakan tindakan undang-undang.

Sejak dibenarkan penggunaannya, ribuan perniagaan muncul dengan banyak kedai di Bangkok dan kawasan pelancongan lain menawarkan "Best Buds" kepada pelancong dan perokok Thai. 

Bagaimanapun, cadangan pelaksanaan semula undang-undang oleh kerajaan baru itu membuatkan pemilik perniagaan seperti Netnapa Singsatit tidak senang duduk. 

"Cukai ganja, sama seperti rokok atau alkohol, dan memperkayakan negara. Jangan masukkan ganja kembali ke dalam penjara," kata Netnapa, yang mengendalikan kedai ganja RG420 di daerah pelancongan Khao San Road di Bangkok. 

"Mereka sepatutnya mempunyai empati kepada kami sebagai pemilik perniagaan," kata Netnapa, salah satu daripada kira-kira 12,000 perniagaan yang menerima permit kerajaan tiga tahun untuk beroperasi.

Parti progresif Move Forward sedang mendesak pembentukan kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum pada 14 Mei lalu yang jelas menyaksikan pengundi menolak parti berkaitan tentera dan mendambakan kembalinya demokrasi dipimpin oleh orang awam. 

Mungkin menghairankan, ia adalah sebuah parti kerajaan disokong tentera bagi memperjuangkan kebenaran penggunaan ganja, yang pada mulanya kononnya untuk kegunaan perubatan.

Namun, status undang-undang yang tepat bagi ganja masih kabur. 

Rang undang-undang yang dijanjikan untuk menetapkan peraturan gagal diluluskan melalui Parlimen sekali gus menyebabkan perniagaan ganja pada skala besar mengambil kesempatan daripada kelompongan undang-undang di negara yang selama bertahun-tahun mempunyai reputasi membendung penyalahgunaan dadah.

Move Forward berharap dapat membentuk gabungan dengan parti pembangkang lain termasuk parti Pheu Thai, yang menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatan dan penderaan dalam kalangan orang muda, turut berkempen mengharamkan ganja.

Move Forward dan sekutunya menerbitkan agenda politik mereka minggu ini termasuk cadangan untuk "mengklasifikasikan semula ganja sebagai bahan terkawal... dengan undang-undang baharu yang mengawal selia dan menyokong kegunaannya yang bermanfaat".