- Iklan -
Luar Sana

5 penduduk Montana cabar sekatan guna TikTok di mahkamah

Pelaksanaan undang-undang berkenaan melanggar hak Pindaan Pertama mereka.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo TikTok dipaparkan pada telefon pintar sambil diletakkan di atas bendera AS dalam gambar ilustrasi yang diambil pada 8 November 2019. Gambar: Reuters
Logo TikTok dipaparkan pada telefon pintar sambil diletakkan di atas bendera AS dalam gambar ilustrasi yang diambil pada 8 November 2019. Gambar: Reuters

Lima pengguna dan pencipta kandungan di aplikasi TikTok memfailkan saman di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di Montana bagi membatalkan sekatan baru negeri ke atas platform video pendek milik China itu.

Gabenor Montana Greg Gianforte pada Rabu menandatangani undang-undang untuk mengharamkan TikTok di negeri ini, berkuat kuasa 1 Januari 2024. 

Semua lima pengguna tersebut berusaha untuk menyekat undang-undang, yang menjadi kesalahan bagi aplikasi Alphabet Inc, Google dan Apple Inc menawarkan TikTok di negeri itu.

Tuntutan saman yang difailkan pada lewat Rabu lalu, menamakan peguam negara, Austin Knudsen kerana didakwa menguatkuasakan undang-undang berkenaan. 

Dalam tuntutan saman itu, pengguna TikTok tersebut berhujah bahawa kerajaan berusaha untuk "melaksanakan kuasa ke atas keselamatan negara yang tidak dimiliki oleh Montana dan mengekang kebebasan bersuara yang juga bukan dalam bidangnya.

Pengguna tersebut percaya pelaksanaan undang-undang berkenaan melanggar hak Pindaan Pertama mereka.

"Montana tidak boleh mengekang penduduknya daripada melayari dan memuat naik video ke TikTok seperti ia boleh mengharamkan Wall Street Journal kerana pemiliknya atau idea yang diterbitkannya," menurut tuntutan mahkamah itu.

Jurucakap Knudsen, Emily Flower berkata negeri itu bersedia untuk dikenakan tindakan undang-undang.

"Kami sudah menjangkakan akan ada penentangan terhadap larangan ini dan bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan undang-undang tersebut," katanya. 

TikTok, yang dimiliki oleh ByteDance dari China, berdepan peningkatan ancaman daripada penggubal undang-undang dan pegawai negeri AS untuk mengharamkan aplikasi itu di seluruh negara atas alasan kebimbangan mengenai potensi pengaruh kerajaan China ke atas platform tersebut. 

Menurut tuntutan saman itu, lima plaintif, semuanya adalah penduduk Montana yang terdiri daripada pereka pakaian renang, bekas anggota marin AS, penternak, pelajar dan seorang pempengaruh media sosial.

Pada Rabu, selepas gabenor menandatangani undang-undang itu, Knudsen, sama seperti Gianforte menggelar TikTok sebagai "alat pengintipan Parti Komunis China yang menimbulkan ancaman kepada setiap penduduk di Montanan."