- Iklan -
Luar Sana

Move Forward adakan rundingan bentuk kerajaan campuran Thailand

Pita Limjaroenrat, mengesahkan beliau telah menghubungi sekurang-kurangnya lima parti pembangkang lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin parti pembangkang Thailand, Move Forward, Pita Limjaroenrat ketika menghadiri sidang media selepas Pilihan Raya Umum, di ibu pejabat parti itu di Bangkok, Thailand, 15 Mei. Gambar: Reuters
Pemimpin parti pembangkang Thailand, Move Forward, Pita Limjaroenrat ketika menghadiri sidang media selepas Pilihan Raya Umum, di ibu pejabat parti itu di Bangkok, Thailand, 15 Mei. Gambar: Reuters

Pemimpin parti pembangkang Thailand, Move Forward, Pita Limjaroenrat, mengesahkan beliau telah menghubungi sekurang-kurangnya lima parti pembangkang lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Beliau mengadakan rundingan dengan parti Pheu Thai yang memenangi 141 kerusi, Prachachart (sembilan kerusi), Thai Sang Thai (enam kerusi) dan Parti Liberal Thai (satu kerusi) termasuk beberapa parti lain untuk mengumpul 309 kerusi.

“Jelas kita boleh mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan. Kami akan cuba membentuk kerajaan secepat mungkin…,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai 250 senator yang mungkin mempengaruhi pemilihan perdana menteri, Pita berkata: “mereka harus memutuskan pendirian mereka dan tidak boleh menentang kehendak rakyat.”

Pada pilihan raya yang diadakan pada Ahad, dua parti pembangkang – Move Forward dan Pheu Thair memperoleh 292 daripada 500 kerusi dewan perwakilan – 400 kerusi dimenangi calon pilihan raya manakala 100 kerusi lagi diperuntukkan berdasarkan perwakilan berkadar.

Sebanyak 99% kertas undi selesai dikira, parti prodemokrasi yang popular dalam kalangan pengundi muda, Move Forward,  menduduki tempat teratas dengan 151 kerusi (112 kerusi kawasan pilihan raya dan 39 kerusi party-list), Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thailand yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra, memenangi 141 kerusi pilihan raya (112 kerusi, 29 kerusi parti-list).

Bagi penyandang kem konservatif, parti Bhumjaithai yang diketuai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul, menduduki tempat ketiga dengan memperoleh 71 kerusi (68 kawasan, tiga party-list).

Parti Palang Pracharat, parti utama pakatan pemerintah diketuai Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, memperoleh 40 kerusi (39 kerusi, satu party-list) dan Parti United Thai Nation (UTN), yang menamakan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha sebagai calon perdana menteri sekadar memperoleh 36 kerusi (23 kawasan pilihan raya, 13 party-list).

Sementara itu, Parti Demokrat memenangi 25 kerusi (22 kawasan, tiga party-list) dan Parti Pracharat sembilan kerusi (tujuh kawasan, dua party-list).

Pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand mengumumkan kerusi party-list untuk semua parti.

Kedua-dua parti pembangkang - Move Forward dan Pheu Thai berdepan laluan sukar untuk membentuk kerajaan baharu, berikutan perlembagaan tentera selepas rampasan kuasa 2014.

Di bawah perlembagaan, 250 senator yang dilantik oleh junta mempunyai suara dalam pemilihan perdana menteri dan membentuk kerajaan.

Undian senator tidak pernah berpihak kepada pembangkang. Bagi menjadi perdana menteri Thailand, parti yang memenangi majoriti mesti memperoleh sekurang-kurangnya 376 daripada jumlah 750 undi di parlimen dua dewan.

Sementara itu, Parti Pheu Thai memaklumkan bahawa parti itu menerima cadangan Move Forward  untuk menerajui pembentukan kerajaan baharu.

Dalam satu kenyataan, Pheu Thai berkata pihaknya bersetuju dengan pelawaan Move Forward untuk menyertai kerajaan baharu.

“Parti Pheu Thai ingin mengesahkan bahawa parti itu tidak mempunyai rancangan untuk bersaing dengan Parti Move Forward untuk membentuk kerajaan baharu.

"Pheu Thai berpendapat bahawa isu dan proses berkaitan dengan pembentukan kerajaan baharu wajar diputuskan oleh Move Forward Party," katanya.

Parti itu turut mengucapkan tahniah kepada Move Forward kerana memperoleh bilangan kerusi terbanyak.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Ittiporn Boonpracong, mengumumkan peratusan keluar mengundi pada Ahad ialah 75.22 peratus.

Beliau berkata sebanyak 17 parti telah layak menerima kerusi party-list.

SPR akan mengesahkan keputusan secara rasmi dalam tempoh 60 hari.