- Iklan -
Luar Sana

Program Makanan Sedunia gantung bantuan kepada rakyat Palestin susulan kekurangan dana

Laporan mendapati, Gaza yang telah ditadbir oleh kumpulan Hamas Islam sejak 2007 adalah tempat kepada 2.3 juta penduduk, di mana 45% daripadanya menganggur manakala 80% bergantung kepada bantuan antarabangsa.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai membeli-belah di pasar menjelang Aidilfitri, di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza 13 April. Gambar: Reuters
Orang ramai membeli-belah di pasar menjelang Aidilfitri, di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza 13 April. Gambar: Reuters

Program Makanan Sedunia (WFP) akan menggantung bantuan makanan kepada lebih 200,000 rakyat Palestin mulai bulan depan susulan kekurangan dana yang sangat teruk, kata pegawai kanan kumpulan itu untuk wilayah Palestin pada Ahad. 

"Memandangkan kekurangan dana yang sangat teruk, WFP terpaksa membuat pilihan yang memeritkan untuk memperluaskan sumber yang terhad," kata Pengarah WHP Palestin Samer Abdeljaber kepada Reuters melalui panggilan telefon dari Baitulmaqdis. 

"WFP perlu mula menggantung bantuan kepada lebih 200,000 orang, iaitu 60 peratus daripada beban kes semasanya, mulai Jun." 

Keluarga di Gaza, kawasan yang mencatatkan isu sekuriti makanan dan kemiskinan paling tinggi menjadi antara golongan paling teruk terjejas, selain penduduk di Tebing Barat.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menawarkan baucar bulanan bernilai $10.30 (RM45.70) dan bakul makanan kepada warga Palestin dan kedua-dua bantuan berkenaan akan terjejas susulan ketetapan terbaharu itu.

Rekod Palestin dan PBB mendapati, Gaza yang telah ditadbir oleh kumpulan Hamas Islam sejak 2007 adalah tempat kepada 2.3 juta penduduk, di mana 45% daripadanya menganggur manakala 80% bergantung kepada bantuan antarabangsa. 

"WFP memahami implikasi keputusan yang tidak dapat dielakkan dan sukar ini ke atas ratusan ribu orang yang juga bergantung kepada bantuan makanan untuk keperluan asas mereka," kata Abdeljaber.

Memetik kebimbangan keselamatan dengan penguasa Hamas di kawasan itu, Israel telah mengetuai sekatan bersama Mesir yang telah meletakkan sekatan ke atas pergerakan orang dan barangan selama bertahun-tahun. 

Agensi PBB akan meneruskan bantuannya kepada 140,000 orang di Gaza dan Tebing Barat, kata Abdeljaber, yang menambah keputusan penggantungan itu diambil untuk menyelamatkan mereka yang berisiko tinggi tidak mampu membeli makanan. 

Bagaimanapun, katanya, kuat kuasa penggantungan itu boleh dianjakkan ke Ogos depan, jika pihaknya menerima bantuan kewangan.

Melaungkan slogan "No to Hunger" berpuluh-puluh rakyat Palestin mengadakan protes di luar pejabat WFP di Gaza City untuk membantah keputusan itu. 

"Baucar itu adalah nyawa, mesej yang mereka hantar kepada kami menyamai kematian kerana tiada sumber pendapatan lain," kata Faraj Al-Masri, bapa kepada dua anak, yang keluarganya mendapat baucar bernilai AS$41.20 sebulan. 

Di Jabalia, di utara Semenanjung Gaza, Jamalat El-Dabour, yang keluarganya menerima baucar bernilai AS$164.80 sebulan, berkata mereka akan "mati kelaparan" kerana suaminya sakit dan menganggur.