- Iklan -
Luar Sana

McDonald's akan bakar roti, tambah sos Big Mac

Bagi mempromosikan burger baharu itu, McDonald's akan membawa semula watak ‘Hamburglar’, yang pada asalnya digunakan pada 1970-an dan 80-an.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Logo restoran makanan segera McDonald's dilihat di Arlington, Virginia, AS, 27 Jan 2022. Gambar: Reuters
Logo restoran makanan segera McDonald's dilihat di Arlington, Virginia, AS, 27 Jan 2022. Gambar: Reuters

McDonald's sedang mengubahsuai proses penyediaan makanannya termasuk membakar roti dan mencairkan keju bagi meningkatkan kualiti Big Mac dan burger lain dalam usaha meningkatkan jualannya.

Syarikat makanan segera itu dalam satu kenyataan semalam berkata, Bic Mac akan ditambah dengan lebih banyak sos dan bawang putih yang menghiasi daging burger itu.

"Kami melihat peluang untuk membuat sedikit perubahan dalam penyediaan makanan kami untuk menjadikannya lebih lazat," kata Tariq Hassan, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan McDonald's Amerika Syarikat, dalam satu kenyataan. 

Menurut laporan media, bagi mempromosikan burger baharu itu, McDonald's akan membawa semula watak "Hamburglar", yang pada asalnya digunakan pada 1970-an dan 80-an akan tetapi ditamatkan pada awal 2000 dan kemudian ditampilkan semula pada 2015 untuk mempromosikan burger “sirloin” dalam masa yang terhad.

Awal bulan ini, McDonald's mula memberhentikan ratusan pekerja korporat AS di tengah-tengah penstrukturan semula yang lebih meluas.

Namun begitu, jumlah pengunjung ke rangkaian makanan segera itu semakin meningkat kerana syarikat berkenaan melancarkan tawaran makan bersama selebriti. 

Penganalisis Wall Street menjangkakan peningkatan jualan yang setanding suku ini, dengan tiga pembrokeran menaikkan sasaran harga mereka mendahului pendapatan syarikat pada 25 April.

Perubahan burger sudahpun dilancarkan di Australia, Kanada dan Belgium. 

Di AS, ia tersedia di beberapa bandar di California, Washington, Arizona dan negeri Barat yang lain. 

Menurut syarikat itu, ia akan berada di seluruh negara menjelang 2024.