- Iklan -
Luar Sana

Polis Sweden fail rayuan terhadap perintah mahkamah benar protes bakar al-Quran

Pembakaran kitab suci Islam di luar kedutaan Turkiye di Stockholm pada Januari lalu menimbulkan kemarahan dunia sehingga mencetuskan protes berminggu-minggu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunjuk perasaan memegang senaskhah al-Quran di hadapan konsulat jeneral Sweden di Istanbul pada 22 Januari, selepas Rasmus Paludan, pemimpin politik sayap kanan negara itu membakar senaskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm. Gambar: AFP
Seorang penunjuk perasaan memegang senaskhah al-Quran di hadapan konsulat jeneral Sweden di Istanbul pada 22 Januari, selepas Rasmus Paludan, pemimpin politik sayap kanan negara itu membakar senaskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm. Gambar: AFP

Polis Sweden telah memfailkan rayuan terhadap perintah mahkamah yang membatalkan keputusan polis untuk mengharamkan dua protes membakar al-Quran.

"Pihak berkuasa polis percaya bahawa prinsip isu itu penting dan oleh itu adalah penting supaya perintah itu dibuat oleh mahkamah yang lebih tinggi," kata polis dalam satu kenyataan.

Pembakaran kitab suci Islam di luar kedutaan Turkiye di Stockholm pada Januari lalu menimbulkan kemarahan dunia sehingga mencetuskan protes berminggu-minggu serta terdapat gesaan untuk memboikot barangan Sweden dan menyekat tawaran keanggotaan negara itu ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Polis Sweden kemudian mengharamkan dua protes yang sama dirancang pada Februari susulan kebimbangan keselamatan. 

Namun, Mahkamah Pentadbiran Stockholm membatalkan keputusan itu pada Selasa kerana terdapat kebimbangan risiko keselamatan tidak mencukupi untuk mengehadkan hak untuk berdemonstrasi.

"Pihak berkuasa polis tidak mempunyai sokongan yang mencukupi untuk keputusannya," kata hakim Eva-Lotta Hedin 

Pihak berkuasa polis pada Khamis berkata rayuan itu telah difailkan dan ia meminta tempoh sehingga 25 April untuk "menghuraikan kes pihak berkuasa."

Polis Sweden pada Januari lalu membenarkan protes yang dianjurkan oleh seorang ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan. Beliau telah didakwa kerana mencetuskan api perkauman.

Paludan juga mencetuskan rusuhan di Sweden tahun lalu ketika melakukan jelajah ke seluruh negara dan membakar naskhah al-Quran secara terbuka. 

Pembakaran Al-Quran oleh Paludan juga mengeruhkan hubungan Sweden dengan Turkiye, yang melakukan kesalahan tertentu selepas polis membenarkan demonstrasi itu.

Ankara telah menyekat permohonan ratifikasi Sweden ke dalam Nato kerana menganggap Stockholm gagal untuk membanteras kumpulan Kurdish yang dilihatnya sebagai "pengganas". 

“Adalah jelas bahawa mereka yang menyebabkan aib seperti itu di hadapan kedutaan negara kita tidak lagi boleh mengharapkan sebarang kebaikan daripada kami berhubung permohonan mereka untuk menjadi ahli Nato,” kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Januari.

Polis kemudian enggan membenarkan dua permintaan lain, oleh individu persendirian dan sebuah organisasi untuk membakar al-Quran di luar kedutaan Turki dan Iraq di Stockholm pada Februari. 

Menurut polis, protes pada Januari menjadikan Sweden sebagai "sasaran utama untuk diserang".

Ahli politik Sweden mengkritik aktiviti membakar al-Quran itu, tetapi dalam pada masa yang sama tegas mempertahankan hak kebebasan bersuara.