- Iklan -
Luar Sana

Finland sertai Nato, Rusia ugut 'tindak balas'

Penyertaan Finland secara umumnya menggandakan sempadan yang dikongsi Nato dengan Rusia dan memperkukuh sayap timurnya ketika perang di Ukraine berterusan tanpa jalan penyelesaian.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Finland dan Nato berkibar di perkarangan bangunan Kementerian Luar, menjelang penyertaan Finland ke dalam Nato, di Helsinki, Finland, 4 April. Gambar: Reuters
Bendera Finland dan Nato berkibar di perkarangan bangunan Kementerian Luar, menjelang penyertaan Finland ke dalam Nato, di Helsinki, Finland, 4 April. Gambar: Reuters

Finland secara rasmi menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada Selasa dalam peralihan dasar bersejarah berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menimbulkan ancaman "tindak balas" Moscow. 

Penyertaan Finland secara umumnya menggandakan sempadan yang dikongsi Nato dengan Rusia dan mengukuhkan sayap timurnya ketika perang di Ukraine berterusan tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Menteri Luar Finland Pekka Haavisto menyempurnakan proses penyertaan dengan menyerahkan dokumen rasmi kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken di ibu pejabat Nato di Brussels. 

"Kami mengalu-alukan Finland ke dalam perikatan itu," kata Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg pada akhir majlis ringkas itu. 

Terdahulu, Stoltenberg menyatakan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin menentang perluasan kuasa Nato ke bahagian timur sebagai satu justifikasi terhadap pencerobohannya.

"Beliau mendapat sebaliknya... Finland hari ini, dan tidak lama lagi Sweden akan menjadi ahli penuh perikatan itu," kata Stoltenberg di Brussels. 

Presiden Finland Saul Niinisto berkata sumbangan terbesar negara itu kepada pencegahan dan pertahanan bersama Nato ialah mempertahankan wilayahnya sendiri. 

Katanya, masih ada tugas penting yang perlu dilakukan untuk menyelaraskan perkara ini dengan Nato.

"Ia adalah hari yang hebat untuk Finland dan saya ingin mengatakan bahawa ia adalah hari yang penting untuk Nato," kata Niinisto pada sidang media bersama Stoltenberg. 

Kremlin berkata Rusia akan dipaksa untuk mengambil "langkah balas" terhadap penyertaan Finland.

Menteri Pertahanan Sergei Shoigu berkata langkah itu meningkatkan prospek konflik di Ukraine yang semakin meruncing. 

Rusia pada Isnin berkata republik itu akan mengukuhkan kapasiti ketenteraannya di wilayah barat dan barat lautnya sebagai tindak balas kepada penyertaan Finland ke dalam Nato. 

Kerajaan Ukraine turut memuji tindakan Finland itu. 

Ketua kakitangan kepada Presiden Volodymyr Zelensky, Andriy Yermak menulis di Telegram: "FI membuat pilihan yang tepat. Nato juga merupakan matlamat utama untuk Ukraine."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.