- Iklan -
Luar Sana

Data peribadi milik 14 juta pelanggan perkhidmatan kewangan Australia dicuri

Latitude memaklumkan bahawa kira-kira 7.9 juta nombor lesen memandu Australia dan New Zealand dicuri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ilustrasi seorang lelaki memegang komputer riba ketika kod siber dipancarkan padanya. Gambar: Reuters
Ilustrasi seorang lelaki memegang komputer riba ketika kod siber dipancarkan padanya. Gambar: Reuters

Penyedia perkhidmatan kewangan Australia Latitude pada Isnin mengesahkan bahawa kira-kira 14 juta butiran peribadi telah dicuri dalam insiden penggodaman yang menyasarkan syarikat itu baru-baru ini.

Latitude memaklumkan bahawa kira-kira 7.9 juta nombor lesen memandu Australia dan New Zealand dicuri.

"Serangan berniat jahat" itu turut mendedahkan 53,000 nombor pasport, manakala sekitar 100 pelanggan melaporkan kebocoran penyata kewangan bulanan mereka, lapor Xinhua.

Sementara itu, syarikat itu juga mengenal pasti bahawa 6.1 juta rekod tambahan dicuri, termasuk beberapa maklumat peribadi, seperti nama, alamat, telefon dan tarikh lahir.

"Amat mengecewakan bahawa sebilangan besar pelanggan dan pemohon terjejas akibat insiden ini. Kami memohon maaf.

"Kami terus bekerja sepanjang masa untuk memulihkan operasi kami. Kami sedang memulihkan platform yang terjejas dan telah melaksanakan pemantauan keselamatan tambahan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Latitude, Ahmed Fahour.

Polis Persekutuan Australia kini sedang menyiasat insiden berkenaan.

Latitud pertama kali melaporkan serangan siber pada 16 Mac, mengakui bahawa lebih 300,000 dokumen pelanggan dicuri.

Penyerang dipercayai menggunakan log masuk pekerja untuk mencuri data penyedia perkhidmatan syarikat.