- Iklan -
Luar Sana

Ratusan pelancong lewat susulan masalah komputer di lapangan terbang Hong Kong

Syarikat penerbangan utama bandar itu, Cathay Pacific Airways dilaporkan antara yang teruk terjejas.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah pesawat Cathay Pacific berlepas di lapangan terbang, semasa pandemik Covid-19 di Hong Kong, 31 Mac 2022. Gambar: Reuters
Sebuah pesawat Cathay Pacific berlepas di lapangan terbang, semasa pandemik Covid-19 di Hong Kong, 31 Mac 2022. Gambar: Reuters

Ratusan pelancong di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong berdepan kelewatan selepas perkhidmatan komputer rosak, lapor penyiar TVB hari ini, dengan rakaman menunjukkan ramai orang terpaksa beratur panjang dengan bagasi mereka. 

Pihak berkuasa lapangan terbang berkata pihaknya sedang menyediakan kenyataan mengenai kejadian itu tetapi tidak dapat mengesahkan butiran lanjut. 

Menurut TVB, beberapa kaunter daftar masuk di lapangan terbang yang biasanya cekap di bandar ini ditutup kerana mengalami masalah teknikal. 

Cathay Pacific Airways, syarikat penerbangan utama bandar itu, adalah antara yang teruk terjejas, lapor South China Morning Post.

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Cathay tetapi tidak berjaya.

Lapangan terbang Hong Kong merupakan salah satu hab penerbangan antarabangsa tersibuk sebelum pandemik Covid-19, dengan lebih 71 juta penumpang direkodkan pada 2019. 

Kerajaan bandar tersebut melancarkan kempen promosi yang digelar "Hello Hong Kong" bermula pada Mac untuk menarik pelancong dan ahli perniagaan datang ke wilayah pentadbiran khas China itu selepas kekurangan pelawat dalam tempoh tiga tahun lalu susulan sekatan akibat Covid.