- Iklan -
Luar Sana

Meta buang 10,000 pekerja lagi dalam gelombang kedua

Dengan pengumuman kedua ini, syarikat yang berpangkalan di California itu akan menyingkirkan kira-kira 25% tenaga kerjanya dalam tempoh empat bulan sahaja.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Logo kumpulan perniagaan Meta Platforms Inc dilihat di Brussels, Belgium pada 6 Disember 2022. Gambar: Reuters
Logo kumpulan perniagaan Meta Platforms Inc dilihat di Brussels, Belgium pada 6 Disember 2022. Gambar: Reuters

Pemilik media sosial Facebook, Meta Platforms Inc. mengumumkan gelombang baru pembuangan pekerjanya pada Selasa, sebahagian daripada apa yang dikatakan oleh Ketua Eksekutifnya, Mark Zuckerberg sebagai "tahun kecekapan" syarikat ketika sektor teknologi AS terus mengecil. 

Dalam e-mel kepada pekerja, Zuckerberg berkata Meta akan membuang 10,000 pekerjaan dalam beberapa bulan akan datang, menyasarkan pengurusan pertengahan, dan 5,000 jawatan lain akan kekal tidak diisi. 

Pemberhentian pekerja itu dibuat susulan penghapusan 11,000 jawatan yang diumumkan oleh syarikat itu pada November yang memulakan gelombang pembuangan kakitangan yang serupa merentasi syarikat teknologi besar, termasuk Amazon, Google dan Microsoft, tetapi bukan Apple. 

Dengan pengumuman kedua, syarikat yang berpangkalan di California itu akan menyingkirkan kira-kira 25% tenaga kerjanya dalam masa empat bulan sahaja. 

"Ini akan menjadi sukar dan tiada jalan untuk mengatasinya. Ini bermakna kita terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerja yang berbakat dan bersemangat dan menjadi sebahagian daripada kejayaan kita," kata Zuckerberg.

Mangsa pertama ialah jabatan pengambilan Meta kerana syarikat itu secara rasmi menamatkan usaha pengambilan pekerja ketika teknologi besar meningkatkan operasi untuk memenuhi permintaan tinggi semasa pandemik. 

Pada bulan-bulan berikutnya, jabatan teknologi dan perniagaan juga akan terjejas dan "dalam sebilangan kecil kes, ia mungkin mengambil masa hingga akhir tahun untuk menyelesaikan perubahan ini," kata Zuckerberg. 

Pada Januari lalu, pengasas Meta itu memberi amaran penderitaan akan datang apabila beliau memberitahu penganalisis bahawa "tema pengurusan syarikat untuk 2023 ialah 'Tahun Kecekapan'" dan beliau akan memberi tumpuan untuk menjadikan syarikat itu "organisasi lebih kukuh dan lincah." 

Meta mengharungi 2022 dalam tempoh sukar di tengah-tengah iklim ekonomi meruncing, yang memaksa pengiklan untuk mengurangkan pemasaran, dan perubahan privasi data Apple, sekali gus mengurangkan kelonggaran bagi pemperibadian iklan. 

"Untuk sebahagian besar sejarah kami, kami melihat pertumbuhan hasil yang pesat tahun demi tahun dan mempunyai sumber untuk melabur dalam banyak produk baharu. Tetapi tahun lepas adalah mengejutkan," tulis Zuckerberg. 

"Saya fikir kita harus mempersiapkan diri untuk kemungkinan realiti ekonomi baharu ini akan berterusan selama bertahun-tahun."