- Iklan -
Luar Sana

Lebih ramai pelajar perempuan Iran jadi mangsa racun misteri

Sejak lebih tiga bulan, ratusan murid perempuan dilaporkan mengalami gejala seperti sesak nafas, loya dan vertigo selepas mengesan bau yang 'tidak menyenangkan' atau 'tidak diketahui'.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang remaja wanita terlantar di hospital akibat terkena 'racun misteri' di sebuah tempat yang tidak dinamakan di Iran, dalam gambar yang diambil dari sebuah video pada 2 Mac. Gambar: Reuters
Seorang remaja wanita terlantar di hospital akibat terkena 'racun misteri' di sebuah tempat yang tidak dinamakan di Iran, dalam gambar yang diambil dari sebuah video pada 2 Mac. Gambar: Reuters

Pelajar sekolah Iran sekali lagi menjadi sasaran dalam serangan racun, menurut laporan media pada Ahad, dalam gelombang insiden yang telah mencetuskan ketakutan dalam kalangan ibu bapa selain menggesa pihak berkuasa bertindak.

Sejak lebih tiga bulan, ratusan murid perempuan dilaporkan mengalami gejala seperti sesak nafas, loya dan vertigo selepas mengesan bau yang "tidak menyenangkan" atau "tidak diketahui".

"Bau yang sangat busuk tiba-tiba merebak, saya pening dan saya jatuh ke tanah," cerita seorang pelajar sekolah dalam program televisyen.

Kes-kes keracunan, yang menyebabkan beberapa gadis dimasukkan ke hospital menjadi isu hangat republik Islam itu, dengan Timbalan Menteri Kesihatan Younes Panahi berkata minggu lepas bahawa serangan tersebut disyaki bertujuan untuk menghalang pendidikan kepada kaum perempuan.

Kes itu berlaku lebih lima bulan selepas bermulanya tunjuk perasaan yang dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini, 22, berikutan penahanannya kerana didakwa melanggar kod pakaian ketat Iran untuk wanita.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi pada Sabtu melaporkan mengenai penemuan "sampel yang mencurigakan" semasa "kajian lapangan" rasmi di tapak yang terjejas, tanpa memberikan butiran lanjut.

Kebanyakan kes keracunan sejak akhir November dilaporkan di bandar Qom, selatan ibu kota Tehran, dengan sekurang-kurangnya 52 sekolah di seluruh negara mengikut kiraan terbaharu.

Keracunan baru-baru ini juga menjejaskan pelajar di bandar Abhar di barat dan di bandar Ahvaz di barat daya, kata agensi berita Isna, memetik pegawai kesihatan tempatan.

Gadis sekolah rendah juga menjadi sasaran di bandar barat Zanjan, tambah Isna, malah lebih banyak kes dilaporkan di bandar Mashhad, Isfahan dan Shiraz, lapor agensi berita Mehr dan Ilna.