- Iklan -
Luar Sana

KPU Indonesia tetap akan teruskan pilihan raya pada 2024

Sebelum ini, mahkamah daerah Jakarta Pusat mengarahkan semua proses pilihan raya dihentikan, sekali gus menyebabkan pemilihan presiden dan badan perundangan baharu perlu dijalankan seawal 2025.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengundi melaksanakan tanggungjawab semasa pilihan raya di Jakarta, Indonesia pada 17 April 2019. Gambar: Reuters
Seorang pengundi melaksanakan tanggungjawab semasa pilihan raya di Jakarta, Indonesia pada 17 April 2019. Gambar: Reuters

Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia tetap akan meneruskan pilihan raya presiden tahun depan, mencabar perintah mengejut mahkamah daerah untuk menghentikan semua proses pilihan raya selama lebih dua tahun. 

Menurut KPU, suruhanjaya itu akan merayu perintah oleh mahkamah daerah Jakarta Pusat, yang dikeluarkan berhubung tuntutan difailkan individu yang tidak dikenal pasti selepas permohonannya untuk bertanding pilihan raya ditolak tahun lepas. 

Parti terbesar Indonesia dan ketua menteri keselamatan negara itu menolak keputusan itu dan berkata mahkamah daerah tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan isu pilihan raya. 

Tidak dapat dipastikan mengapa mahkamah mengarahkan semua proses pilihan raya dihentikan, sekali gus menyebabkan pemilihan presiden dan badan perundangan baharu perlu dijalankan seawal 2025.

"Mana-mana undang-undang yang mengawal proses dan jadual pilihan raya masih sah di sisi undang-undang," kata ketua KPU Hasyim Asy'ari pada sidang media, sambil menambah pihaknya akan meneruskan tugasnya tanpa mengambil kira perintah itu.

Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Presiden Joko Widodo berkata mahkamah tidak berhak membuat keputusan sedemikian dan hakim perlu disiasat. 

"PDIP berpendapat keputusan mahkamah mesti dibatalkan," kata setiausaha agungnya, Hasto Kristiyanto, dalam satu kenyataan. 

"Sebarang usaha untuk menangguhkan pilihan raya adalah bercanggah dengan perlembagaan." 

Menurut PDIP Mahkamah Perlembagaan menjelaskan dengan jelas dalam keputusan kes lain pada Selasa bahawa tiada lanjutan melebihi tempoh maksimum dua penggal presiden memegang jawatan, yang akan berlaku jika pilihan raya ditangguhkan.