- Iklan -
Luar Sana

Kim Jong Un arah buka lebih banyak tanah ladang, tingkatkan pengeluaran makanan

Korea Selatan memberi amaran tentang krisis makanan yang semakin memburuk di Korea Utara, termasuk peningkatan kematian akibat kebuluran baru-baru ini di beberapa wilayah.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Petani menanam padi menggunakan mesin pemindahan benih padi di Ladang Koperasi Chongsan di daerah Kangso, bandar Nampho pada 9 Mei 2022. Gambar: AFP
Petani menanam padi menggunakan mesin pemindahan benih padi di Ladang Koperasi Chongsan di daerah Kangso, bandar Nampho pada 9 Mei 2022. Gambar: AFP

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengarahkan penambahbaikan infrastruktur dan pembukaan tanah ladang untuk meningkatkan pengeluaran makanan, kata media kerajaan hari ini, di tengah-tengah amaran krisis makanan yang akan berlaku. 

Kim memberi arahan untuk merombak sistem pengairan, membina mesin pertanian moden dan mewujudkan lebih banyak tanah yang boleh diusahakan ketika beliau menyempurnakan mesyuarat pleno ketujuh yang dianjurkan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja semalam. 

Mesyuarat yang bermula Ahad lalu itu membincangkan situasi "mendesak" untuk meningkatkan sektor pertanian. 

Korea Selatan memberi amaran tentang krisis makanan yang semakin memburuk di Korea Utara, termasuk peningkatan kematian akibat kebuluran baru-baru ini di beberapa wilayah. 

Ekonomi Korea Utara menjunam susulan banjir dan taufan, sekatan ke atas program nuklear dan peluru berpandunya, serta kemerosotan mendadak perdagangan dengan China berikutan penutupan pintu sempadan dan sekatan akibat Covid-19.

Agensi pembangunan luar bandar Korea Selatan menganggarkan pengeluaran tanaman di Korea Utara merosot hampir 4% tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, susulan hujan lebat dan keadaan ekonomi lain. 

Kim membentangkan rancangan dan tugas khusus untuk membina "masyarakat luar bandar sosialis yang kaya dan bertamadun tinggi dengan teknologi canggih dan moden," kata agensi berita rasmi KCNA.

Beliau menekankan keperluan untuk mengetatkan disiplin dalam melaksanakan rancangan ekonomi negara, memberi amaran terhadap "amalan melemahkan kuasa organisasi dan eksekutif kabinet," dan mengarahkan semua unit parti "mendapat pengesahan kecekapan kerja mereka," lapor KCNA. 

Jawatankuasa Pusat juga membincangkan cara untuk menambah baik pengurusan kewangan negara, kata KCNA, tanpa mengulas lanjut.