- Iklan -
Luar Sana

AS bongkar hampir 4,000 kes eksploitasi buruh kanak-kanak

Jabatan Buruh berkata tahun lepas menyaksikan 835 syarikat disiasat kerana menggaji lebih 3,800 kanak-kanak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Jabatan Buruh Amerika Syarikat, di Washington. Gambar: Reuters
Bangunan Jabatan Buruh Amerika Syarikat, di Washington. Gambar: Reuters

Pentadbiran Joe Biden akan melaksana tindakan baharu yang lebih tegas bagi menangani masalah eksploitasi buruh kanak-kanak yang semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS), terutama dalam kalangan kanak-kanak migran, lapor Sputnik.

"Pada tahun fiskal lalu, 835 syarikat yang disiasat didapati menggaji lebih 3,800 kanak-kanak," kata Jabatan Buruh dalam kenyataan pada Isnin.

Untuk menangani eksploitasi buruh kanak-kanak yang semakin meningkat, Jabatan Buruh dan Khidmat Kesihatan Manusia mengumumkan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan usaha menyemak penaja, menyiasat pelanggaran dan bertindak ke atas syarikat yang bertanggungjawab.

Marty Walsh, ketua buruh, berkata setiap orang mempunyai kewajipan moral dan undang-undang untuk mencegah bencana buruh kanak-kanak namun syarikat melihat sebaliknya atau menyalahkan agensi pekerjaan dan subkontraktor.

"Ini bukan masalah abad ke-19, ini masalah hari ini. Kami memerlukan Kongres dan kerajaan-kerajaan negeri untuk berbincang," kata Walsh dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Pada Februari lepas, Packers Sanitation Services Inc. (PSSI) yang berpangkalan di Wisconsin membayar denda AS$1.5 juta kerana menggaji lebih 100 kanak-kanak secara haram yang bekerja dalam keadaan berbahaya di tapak pembungkusan daging di beberapa negeri di AS, menurut Jabatan Buruh dalam satu kenyataan.