- Iklan -
Luar Sana

Pendatang Israel merusuh, tembak mati seorang rakyat Palestin di Tebing Barat

Kira-kira 400 pendatang berhimpun dekat Nablus dan membakar 30 kediaman dan 25 kenderaan milik rakyat Palestin, selain lebih ramai tentera rejim dikerah, menurut radio Israel.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel semasa serbuan di Nablus di Tebing Barat, 22 Februari 2023. Gambar: Reuters
Penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel semasa serbuan di Nablus di Tebing Barat, 22 Februari 2023. Gambar: Reuters

Beratus-ratus pendatang Israel bertindak melancarkan serangan balas di Tebing Barat pada malam Ahad, dengan membakar rumah, kedai, kereta dan ladang selepas serangan Palestin membunuh dua warga Israel.

Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang rakyat Palestin terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera, lapor Xinhua.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan Sameh Al-Aqtash, 37, dari bandar Nablus, meninggal dunia selepas ditembak di kampung Zatara, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Agensi berita rasmi Palestin WAFA melaporkan bahawa serangan amok juga berlaku di bandar Hawara, Burin dan Einbus di utara Tebing Barat.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Tebing Barat dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa lebih 100 rakyat Palestin cedera semasa pertempuran dengan tentera dan pendatang Israel.

Radio Israel mendakwa bahawa kira-kira 400 pendatang berhimpun berhampiran Nablus dan membakar 30 kediaman dan 25 kenderaan, sambil menambah bahawa tentera Israel menghantar lebih ramai tentera ke kawasan itu untuk memulihkan ketegangan antara kedua-dua pihak.

Presiden Palestin mengecam serangan terbabit dan meminta kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rusuhan itu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan - selain tentera, Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Israel dan Polis Sempadan dikerah ke kawasan itu untuk menghentikan "rusuhan ganas."

Serangan bermula beberapa jam selepas pegawai kanan keselamatan Israel dan Palestin bertemu di pusat peranginan Aqaba di Laut Merah Jordan dan bersetuju mengurangkan keganasan yang semakin meningkat di rantau itu.

Dua beradik Yahudi dilaporkan maut selepas dilanggar seorang rakyat Palestin di Har Bracha, selatan bandar Nablus.

Serangan itu adalah siri ketegangan terbaharu yang semakin memuncak antara kedua-dua pihak.