- Iklan -
Luar Sana

Bantuan PBB: Bashar al-Assad setuju buka 2 sempadan dari Turkiye

Menurut Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Presiden Syria Bashar al-Assad bersetuju untuk membuka sempadan Bab Al-Salam dan Al Ra'ee.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk berdiri di atas runtuhan bangunan yang musnah susulan gempa bumi melanda kawasan dikuasai pemberontak di bandar Harem, Syria, 13 Februari. Gambar: Reuters
Penduduk berdiri di atas runtuhan bangunan yang musnah susulan gempa bumi melanda kawasan dikuasai pemberontak di bandar Harem, Syria, 13 Februari. Gambar: Reuters

Presiden Syria Bashar al-Assad bersetuju untuk membenarkan penghantaran bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke barat laut Syria yang dikuasai pembangkang melalui dua pintu sempadan dari Turkiye selama tiga bulan, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, hari ini. 

Assad bersetuju untuk membuka sempadan Bab Al-Salam dan Al Ra'ee, kata Guterres dalam satu kenyataan selepas ketua bantuan PBB Martin Griffiths bertemu dengan presiden Syria di Damsyik semalam. 

Griffiths memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai keputusan Assad semasa mesyuarat tertutup, diplomat sebelum ini memberitahu Reuters. 

Tindakan itu dibuat seminggu selepas gempa bumi melanda Turkiye dan Syria, mengorbankan lebih 37,000 orang. 

Menerusi perjanjian itu bermakna PBB kini boleh menggunakan sejumlah tiga pintu sempadan dari Turkiye untuk sampai ke barat laut Syria yang dilanda perang. 

PBB sudah mempunyai mandat Majlis Keselamatan untuk menggunakan sempadan Bab al-Hawa. Ia menggunakan laluan itu sejak 2014 untuk menyalurkan bantuan kepada berjuta-juta orang yang memerlukan di barat laut. 

Majlis Keselamatan bersetuju dengan mandat itu selepas kerajaan Syria sebelum ini menentang langkah tersebut. 

"Memandangkan jumlah korban akibat gempa bumi pada 6 Februari terus meningkat, penghantaran makanan, kesihatan, perlindungan, tempat tinggal, bekalan musim sejuk dan bekalan menyelamatkan nyawa lain kepada semua berjuta-juta orang yang terjejas adalah amat mendesak," kata Guterres.

"Membuka titik persimpangan ini – bersama-sama dengan memudahkan akses kemanusiaan, mempercepatkan kelulusan visa dan memudahkan perjalanan antara hab – akan membolehkan lebih banyak bantuan masuk, lebih cepat," tambahnya. 

Tindakan Majlis Keselamatan PBB

Bantuan sampai ke kawasan yang dikuasai kerajaan yang dilanda gempa bumi. Bagaimanapun, kawasan barat laut yang dikuasai pemberontak menerima sedikit bantuan. 

Sumber dari Hayat Tahrir al-Sham, sebuah kumpulan Islam yang menguasai sebahagian besar wilayah itu, berkata kumpulan tersebut tidak akan membenarkan penghantaran masuk merentasi barisan hadapan dari kawasan yang dikuasai kerajaan. 

Kerajaan Syria lama menentang penghantaran bantuan merentasi sempadannya ke kawasan yang dikawal pembangkang, menyifatkannya sebagai pencabulan kedaulatannya. 

Ia mengatakan lebih banyak bantuan harus disampaikan merentasi barisan hadapan susulan perang saudara sejak 12 tahun lalu. 

Griffiths telah memberi isyarat pada hujung minggu bahawa beliau akan mendapatkan kebenaran Majlis Keselamatan untuk memperluaskan akses daripada Turki jika kerajaan Syria enggan bersetuju dengannya. 

Duta Perancis ke PBB Nicolas de Riviere berkata jika perjanjian Assad tidak dilaksanakan secara telus dan mampan tanpa halangan maka Majlis Keselamatan harus mempertimbangkan untuk menerima pakai resolusi untuk membenarkan akses itu.