- Iklan -
Luar Sana

Finland bincang ratifikasi Nato tanpa penyertaan Sweden

Kedua-dua negara meminta keahlian Nato sejurus selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun lepas, dan ketika kebanyakan negara anggota mengesahkan permohonan itu, Turkiye masih belum berbuat demikian.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Finland, Nato dan Sweden semasa upacara menandakan permohonan Sweden dan Finland untuk menjadi ahli pertubuhan itu di Brussels, Belgium, 18 Mei 2022. Gambar: Reuters
Bendera Finland, Nato dan Sweden semasa upacara menandakan permohonan Sweden dan Finland untuk menjadi ahli pertubuhan itu di Brussels, Belgium, 18 Mei 2022. Gambar: Reuters

Kumpulan Parlimen Finland dijangka membincangkan tarikh yang sesuai untuk meratifikasi perjanjian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), sebagai satu langkah yang boleh membawa negara itu mendapatkan keahlian mendahului negara jiran Sweden di tengah-tengah sokongan yang semakin meningkat di kalangan rakyatnya.

Kedua-dua negara Nordik itu meminta keahlian Nato sejurus selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun lepas, dan ketika kebanyakan negara anggota mengesahkan permohonan itu, Turkiye masih belum berbuat demikian. 

"Kedudukan kami di Finland adalah positif, tetapi ia tidak positif di Sweden," kata Presiden Tayyip Erdogan minggu lalu. 

Pandangan berbeza Turkiye mengenai keahlian Finland dan Sweden memberi tekanan kepada pemimpin Finland untuk terus maju. Hasil tinjauan akhbar harian Ilta-Sanomat menunjukkan majoriti 53% rakyat Finland tidak mahu Finland menunggu Sweden. Sebilangan 28% mengatakan ia sepatutnya dilakukan bersama. 

Pada Jumaat, kumpulan Parlimen di Finland akan memutuskan sama ada Parlimen negara itu perlu meratifikasi perjanjian Nato sebelum ia dibubarkan pada 3 Mac, bagi memberi laluan kepada pilihan raya pada 2 April.

Jika parlimen kemudiannya mengundi memihak untuk meluluskan perjanjian, seperti yang dijangka dilakukan secara meluas, maka presiden mesti meneruskan permohonan itu dalam tempoh tiga bulan dan sebaik sahaja semua anggota Nato yang sedia ada juga meratifikasi tawaran Finland.

Ini sekali gus membolehkan Finland mendapat keahlian Nato tanpa Sweden. 

Justeru, Turki dan Hungary perlu meratifikasi keahlian Finland terlebih dahulu dan Nato secara rasmi menjemput Finland sebagai ahli. 

Canselor Kehakiman Finland Tuomas Poysti memberitahu Ilta-Sanomat bahawa proses itu akan meninggalkan Finland sedikit ruang untuk menunggu Sweden jika perlu, tetapi tidak tanpa henti. 

Secara rasmi, Finland mengesahkan berkali-kali bahawa ia mahu menyertai Nato dengan Sweden.

Sweden adalah sekutu pertahanan terdekat Finland. Sekiranya berlaku konflik dengan Rusia, di mana Finland berkongsi sempadan 1,300km, Nato memerlukan wilayah Sweden untuk membantu Finland mempertahankan dirinya, contohnya dari segi logistik. 

Ankara mahu Helsinki dan Stockholm khususnya mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap Parti Pekerja Kurdistan, yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan Kesatuan Eropah, dan satu lagi kumpulan yang dipersalahkan untuk cubaan rampasan kuasa pada 2016.