- Iklan -
Luar Sana

AS tekan Brazil tangguh kapal perang Iran berlabuh, menurut sumber

Namun jurucakap kementerian luar Brazil berkata ia andaian yang salah, tiada kena mengena dengan Washington.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva. Gambar: Reuters
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva. Gambar: Reuters

Brazil terpaksa tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) dan menolak permintaan Iran yang mahu melabuhkan dua kapal perangnya di Rio de Janeiro ketika Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva merancang ke Washington untuk bertemu pemimpin AS Joe Biden, kata sumber.

Keputusan Brazil itu sebagai respons kepada hubungan yang lebih erat dengan pentadbiran Biden selepas hubungan AS-Brazil memburuk di bawah pemimpin hauan kanan Jair Bolsonaro. Tindakan itu dibuat walaupun Lula telah lama menentang sekatan AS ke atas Tehran, menyokong dasar luar berkecuali.

Pada 13 Januari, Brazil memberikan kebenaran kepada kapal IRIS Makran & IRIS Dena untuk berlabuh di pelabuhan Rio pada 23-30 Januari, menurut kenyataan rasmi kerajaan.

Dua buah kapal itu kini diberi kuasa untuk berlabuh antara 26 Februari dan 3 Mac, kata Kementerian Luar Brazil.

Seorang pegawai AS yang mempunyai pengetahuan langsung tentang situasi itu berkata prospek kapal perang Iran di Rio menjelang pertemuan Lula dengan Biden pada Jumaat "adalah sesuatu yang tidak menyenangkan yang kami mahu elakkan."

"Terdapat banyak cakap-cakap di belakang tabir mengenai perkara ini di pelbagai peringkat," kata pegawai itu, sambil menambah keputusan Brazil itu merupakan berita baik.

Sumber tentera Brazil mengesahkan bahawa kerajaan persekutuan, melalui kementerian luar negeri, telah menukar tarikh dan menyekat kapal Iran daripada berlabuh.

"Memang benar terdapat veto (daripada kerajaan)," kata sumber itu, dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan. "Kapal-kapal Iran tidak boleh datang dalam tempoh ini."

Jurucakap kementerian luar Brazil berkata adalah "andaian yang salah" untuk mengatakan Washington telah menekan Brazil.

"Kapal yang tidak dapat berlabuh antara 23-30 Januari itu tidak ada kaitan dengan kami. Ia dijadualkan semula pada 26 Februari-3 Mac," kata jurucakap itu. "Tiada kena mengena dengan AS."

Jabatan Negara AS bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan.

Diplomasi dengan Iran adalah salah satu perkara utama dalam usaha Lula untuk meningkatkan kedudukan antarabangsa Brazil seperti yang disuahakan presiden sebelum ini.

Pada 2010, beliau berusaha untuk menjadi perantara perjanjian nuklear antara Iran dan AS, dengan pergi ke Tehran untuk bertemu dengan Presiden Mahmoud Ahmadinejad ketika itu.

Lula berundur dengan sekatan AS ke atas Iran dan enggan memilih pihak dalam perang Rusia-Ukraine, berkata Brazil berkecuali dan mahukan dialog untuk mencapai keamanan.