- Iklan -
Berita

Switzerland laksana sekatan baharu ke atas Rusia

Sekatan baharu itu sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ketenteraan Rusia yang berterusan di Ukraine.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Switzerland dikibarkan di bangunan Mahkamah Persekutuan di Bellinzona, Switzerland, 3 Disember 2020. Gambar: Reuters
Bendera Switzerland dikibarkan di bangunan Mahkamah Persekutuan di Bellinzona, Switzerland, 3 Disember 2020. Gambar: Reuters

Majlis Persekutuan Switzerland menggubal sekatan lanjut terhadap Rusia semalam apabila menerima pakai langkah terbaharu yang diperkenal oleh Kesatuan Eropah sebagai tindak balas terhadap pencerobohan tentera Moscow di Ukraine.

"Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ketenteraan Rusia yang berterusan di Ukraine dan tindakan terus mengganggu kestabilan yang menjejaskan integriti wilayah, kedaulatan dan keselamatan Ukraine, EU menerima pakai langkah baharu terhadap Rusia pada 16 Disember 2022 sebagai sebahagian daripada pakej sekatan kesembilan," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan majlis itu.

Switzerland bukan sebahagian daripada EU tetapi ekonominya berkait rapat dengan negara jiran Eropah. 

Pada hujung Februari tahun lepas, Presiden ketika itu Ignazio Cassis mengumumkan Switzerland menerima pakai sekatan kewangan yang sama oleh EU terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin dan pegawai lain kerana penglibatan mereka dalam perang ke atas Ukraine.

Jabatan Hal Ehwal Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan Persekutuan (EAER) merancang meminda lampiran ordinan dan antara lain meluluskan sekatan ke atas kira-kira 200 individu dan entiti tambahan.

Majlis Persekutuan terdiri tujuh ahli daripada empat parti politik, setiap seorang mengetuai jabatan kerajaan.

Sekatan yang berkuat kuasa pada 6 petang waktu tempatan semalam, termasuk larangan ke atas perkhidmatan ujian produk, pengiklanan, penyelidikan pasaran dan perkhidmatan tinjauan pendapat serta kawalan dan sekatan baharu ke atas eksport pelbagai barangan.

Ini termasuk barangan dwiguna, barangan untuk peningkatan ketenteraan dan teknologi atau untuk pembangunan sektor pertahanan dan keselamatan atau barangan yang menyumbang kepada peningkatan kapasiti perindustrian Rusia.

Di samping itu, kerajaan akan melanjutkan larangan eksport barangan untuk industri aeroangkasa termasuk enjin untuk pesawat dan dron.

Switzerland juga akan mengharamkan pelaburan baharu dalam sektor perlombongan Rusia.

Majlis Persekutuan Switzerland turut memutuskan peruntukan baharu mengenai sekatan ke atas senjata.