- Iklan -
Luar Sana

Jumlah kematian akibat Covid-19 di China turun 80%

Gelombang virus tersebut melanda China sejak Beijing secara mengejut menamatkan dasar sifar Covid bulan lalu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pengembara dari China mula melakukan perjalanan ke luar negara selepas Beijing membuka pintu sempadannya bulan lalu, 24 Januari. Gambar: Reuters
Pengembara dari China mula melakukan perjalanan ke luar negara selepas Beijing membuka pintu sempadannya bulan lalu, 24 Januari. Gambar: Reuters

Jumlah korban harian akibat Covid-19 di China menurun hampir 80% sejak awal bulan ini, kata pihak berkuasa.

Ini sekali gus menunjukkan lonjakan jangkitan yang belum pernah terjadi sebelumnya di negara itu mungkin mula berkurangan. 

Gelombang virus tersebut melanda negara paling ramai penduduk dunia itu sejak Beijing secara mengejut menamatkan dasar sifar Covid bulan lalu. 

Angka Beijing dipercayai hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah sebenar, memandangkan definisi sempit China mengenai kematian Covid dan anggaran rasmi bahawa sebahagian besar penduduk dijangkiti. 

CDC minggu lalu berkata hampir 13,000 orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan Covid-19 antara 13 dan 19 Januari, menambah kepada pengumuman sebelumnya bahawa kira-kira 60,000 orang meninggal dunia akibat virus itu di hospital dalam tempoh lebih sebulan. 

Namun pengumuman kerajaan tempatan dan laporan media baru-baru ini menunjukkan gelombang itu mungkin mula surut sejak memuncak pada akhir Disember dan awal Januari apabila hospital dan krematorium penuh sesak.

Terdapat 896 kematian disebabkan oleh virus itu di hospital pada Isnin, penurunan sebanyak 79% berbanding 4 Januari, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China dalam satu kenyataan, semalam. 

Menurut CDC, kes akut di hospital juga berkurangan kepada 36,000 menjelang Isnin, mewakili penurunan 72% daripada paras tertinggi 128,000 pada 5 Januari. 

Pengumuman itu dibuat semasa cuti umum terbesar di China sempena Tahun Baru Cina, dengan pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran tempoh perjalanan besar-besaran dan perhimpunan sosial boleh mencetuskan peningkatan semula jangkitan. 

Sehingga Selasa, kira-kira 664 juta perjalanan dilakukan di seluruh negara semasa tempoh perjalanan Tahun Baru Cina, lapor penyiar tempatan CCTV.