- Iklan -
Luar Sana

Chris Hipkins angkat sumpah sebagai PM New Zealand

Ia berikutan peletakan jawatan mengejut perdana menteri Jacinda Ardern minggu lalu.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins. Gambar: Reuters
Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins. Gambar: Reuters

Pemimpin Parti Buruh Chris Hipkins mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri New Zealand dalam satu majlis rasmi hari ini.

Ia berikutan peletakan jawatan perdana menteri Jacinda Ardern minggu lalu. 

Parti Buruh memilih bekas menteri penyelaras Covid-19 dan polis Hipkins, 44, untuk memimpin parti itu dan negara pada Ahad. 

Ini berlaku selepas peletakan jawatan mengejut Ardern, 42, yang berkata beliau "tidak mempunyai keupayaan lagi menjalankan tugas" untuk memimpin negara.

Ratusan rakyat berkumpul di perkarangan Parlimen ketika Ardern mengumumkan peletakan jawatan, dengan orang ramai dilihat tidak dapat menahan kesedihan.

Beliau kemudian menuju ke Government House, bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Gabenor Jeneral Cindy Kiro. 

Hipkins dan timbalannya Carmel Sepuloni – orang pertama berketurunan Kepulauan Pasifik memegang peranan itu – kemudiannya mengangkat sumpah, dalam satu majlis yang berlangsung beberapa minit.

Hipkins, yang setakat ini enggan mengulas mengenai dasar beliau sejak dipilih sebagai perdana menteri, akan mengadakan mesyuarat Kabinet pertamanya hari ini. 

Dikenali sebagai "Chippy", Hipkins terkenal di kalangan rakyat New Zealand kerana kecekapannya dalam menangani Covid-19, walaupun beliau mengakui beberapa kesilapan dalam mengendalikan wabak itu dan berdepan kesukaran untuk mempertahan kerusi dalam pilihan raya umum Oktober lalu. 

Tinjauan 1News-Kantar yang dikeluarkan pada Disember menunjukkan sokongan parti Buruh merosot kepada 33% daripada 40% pada awal 2022.

Ini bermakna parti itu tidak akan dapat membentuk majoriti walaupun bersama rakan gabungan Green Party yang memiliki 9% sokongan.

Parti pembangkang negara itu berjaya mendapat manfaat daripada kemerosotan parti Buruh.