- Iklan -
Luar Sana

Operasi 2 lapangan terbang di Peru digantung susulan protes

Demonstrasi besar-besaran berlaku di semua bandar utama di Peru bagi menuntut Presiden Dina Boluarte meletak jawatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan lari dari landasan lapangan terbang selepas diusir oleh pasukan keselamatan ketika protes menuntut Presiden Dina Boluarte meletak jawatan, 15 Disember 2022. Gambar: Reuters
Penunjuk perasaan lari dari landasan lapangan terbang selepas diusir oleh pasukan keselamatan ketika protes menuntut Presiden Dina Boluarte meletak jawatan, 15 Disember 2022. Gambar: Reuters

Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Peru berkata operasi lapangan terbang di bandar Cusco dan Arequipa digantung ekoran protes berterusan di negara itu, lapor Sputnik.

Semalam, protes berlaku di seluruh Peru menuntut Presiden Dina Boluarte meletak jawatan dan membubarkan Kongres. Demonstrasi besar-besaran berlaku di semua bandar utama.

Menurut laporan media, pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis bermula pada sebelah petang. Kereta perisai dilihat di jalan-jalan di Lima, ibu kota Peru.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, Lapangan Terbang Antarabangsa Alejandro Velasco Astete di Cusco ditutup sementara. Tindakan itu diambil bagi melindungi orang ramai dan operasi udara," kata kementerian itu di Twitter.

Pemberitahuan serupa dikeluarkan untuk lapangan terbang antarabangsa di Arequipa.

Menurut radio Peru, RPP, penunjuk perasaan cuba merampas bangunan lapangan terbang terbabit.

Penunjuk perasaan di bandar Juliaca juga cuba merampas lapangan terbang tempatan namun berjaya disuraikan oleh polis dengan gas pemedih mata, lapor akhbar Republica.

Pada 7 Dis 2022, parlimen Peru mendakwa bekas Presiden Pedro Castillo. Beliau ditahan atas tuduhan cubaan rampasan kuasa dan jenayah terhadap negara apabila cuba membubarkan parlimen dan memerintah melalui dekri sebelum undian pemecatannya.

Boluarte kemudiannya dilantik sebagai pemimpin baharu negara itu.

Peristiwa itu mencetuskan gelombang protes di seluruh negara. Penunjuk perasaan mengecam kerajaan dan menggesa pilihan raya presiden segera diadakan dan parlimen negara itu dibubarkan.

Sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh sejak protes bermula, lapor media.