- Iklan -
Luar Sana

Bantahan anti kerajaan di Peru diteruskan, meskipun darurat

Ribuan penunjuk perasaan, kebanyakannya dari selatan negara itu berkumpul di Lima sejak beberapa hari lalu untuk menyertai protes yang bermula pada 7 Disember.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan anti kerajaan berkumpul di sebuah lapangan terbang di Ayacucho, Peru, 15 Disember. Gambar: Reuters.
Penunjuk perasaan anti kerajaan berkumpul di sebuah lapangan terbang di Ayacucho, Peru, 15 Disember. Gambar: Reuters.

Penunjuk perasaan dari seluruh negara tiba di ibu negara semalam bagi mengadakan demonstrasi menentang Presiden Dina Boluarte dan menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya dengan segera, lapor Agensi Anadolu.

Beribu-ribu penunjuk perasaan, kebanyakannya dari selatan negara itu berkumpul di Lima sejak beberapa hari lalu untuk menyertai protes yang bermula pada 7 Disember apabila bekas Presiden Pedro Castillo digulingkan dan ditahan selepas cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri.

Penunjuk perasaan turut memasang penghadang di lebuh raya utama. Terdapat lebih 100 jalan utama disekat, menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Polis Peru pada Selasa bertindak mengalihkan penghadang yang dipasang penunjuk perasaan di beberapa jalan di Lebuhraya Pan-Amerika serta Lebuhraya Interoceanic di wilayah Amazon.

Kerajaan sebelum ini mengisytiharkan darurat selama 30 hari di beberapa wilayah, termasuk Lima dan memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi menjaga ketenteraman awam.

Boluarte berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan penunjuk perasaan apabila mereka tiba di Lima.

"Saya menjemput anda untuk datang ke Lima dengan aman. Kami mengalu-alukan kedatangan anda supaya anda boleh menyatakan permintaan secara aman.

“Saya akan menunggu anda di kediaman presiden agar kita boleh berbincang tentang agenda sosial berdasarkan saranan anda," katanya.

Setakat ini, 50 orang maut sejak protes bermula pada Disember.