- Iklan -
Dunia

AS sekat pegawai Iran selepas tindakan keras terhadap protes

Sekatan terbaru itu menambah tekanan terhadap Tehran yang bertindak keras terhadap protes kematian Mahsa Amini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Polis Iran berkawal di jalan raya bagi menyuraikan protes terhadap kematian Mahsa Amini di Tehran pada 3 Oktober. Gambar: Reuters
Polis Iran berkawal di jalan raya bagi menyuraikan protes terhadap kematian Mahsa Amini di Tehran pada 3 Oktober. Gambar: Reuters

Amerika Syarikat (AS) menyekat beberapa pegawai Iran pada Rabu, menambahkan lagi tekanan ke atas Tehran berhubung tindakan keras Republik Islam itu terhadap penunjuk perasaan.

Langkah terbaru Washington itu merupakan tindak balas ke atas tindakan keras Iran terhadap protes yang tercetus selepas seorang wanita, Mahsa Amini, meninggal dunia dalam tahanan.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Perbendaharaan AS berkata sekatan dikenakan terhadap ketua pendakwa raya Iran Mohammad Montazeri, atas dakwaan beliau mengarahkan mahkamah untuk memberikan hukuman berat terhadap penunjuk perasaan yang ditangkap ketika protes.

Turut disekat ialah syarikat Iran, Imen Sanat Zaman Fara, yang mana Jabatan Perbendaharaan AS mendakwa syarikat tersebut menyediakan pelbagai peralatan termasuk kenderaan perisai bagi kegunaan Pasukan Penguatkuasa Iran untuk menindas rakyat.

Dalam pada itu, Washington juga mengenakan sekatan ke atas dua pegawai kanan Pasukan Penentangan Basij Iran yang bergabung dengan Pengawal Revolusi Iran dalam protes tersebut, selain dua pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

“Kami kecam tindakan rejim Iran yang semakin menekan rakyatnya yang mempertahankan hak mereka sendiri,” kata Brian Nelson, setiausaha bahagian keganasan dan perisikan kewangan bagi Jabatan Perbendaharaan, dalam kenyataan tersebut.

Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas setakat ini.

Protes rakyat Iran menandakan salah satu penentangan paling berani terhadap kerajaan teokrasi republik itu sejak Revolusi Islam 1979.

Iran mendakwa Barat mencetuskan pergolakan, sehingga pasukan keselamatannya terpaksa berhadapan keganasan.

Langkah yang dibuat pada Rabu itu turut membekukan aset-aset AS yang berkait, dan secara amnya menyekat rakyat Amerika daripada berurusan dengan pihak terlibat.

Sesiapa yang terlibat dalam transaksi dengan pihak tersebut juga berisiko dikenakan sekatan.

Pegawai lain yang menjadi sasaran Jabatan Perbendaharaan AS, termasuk Hassan Hassanzadeh, yang didakwa  mengetuai pasukan IRGC di Tehran; Moslem Moein, yang dituduh menyelia usaha untuk mengawal dan menapis aktiviti dalam talian Iran melalui Basij Cyberspace dan Timbalan Penyelaras Basij Hossein Maroufi.