- Iklan -
Dunia

Penerbit filem Harvey Weinstein bersalah tuduhan rogol di Los Angeles

Beliau perlu menghabiskan hukuman 23 tahun penjara di New York sebelum dipindahkan ke Los Angeles.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penerbit filem Hollywood Harvey Weinstein ketika perbicaraan di Los Angeles, California, pada 4 Oktober 2022. Gambar: AFP
Penerbit filem Hollywood Harvey Weinstein ketika perbicaraan di Los Angeles, California, pada 4 Oktober 2022. Gambar: AFP

Bekas mogul filem Hollywood, Harvey Weinstein disabitkan kesalahan merogol pada Isnin di mahkamah Los Angeles.

Weinstein didapati bersalah atas tiga daripada tujuh pertuduhan, lapor Anadolu Agency, memetik beberapa saluran berita.

Juri mengambil masa hampir dua minggu sebelum mencapai keputusan bersalah berdasarkan laporan seorang wanita yang tidak disebutkan namanya, mengatakan dia dirogol oleh Weinstein di bilik hotel Beverly Hills pada 2013.

Pendakwa raya berkata Weinstein menggunakan pengaruhnya di Hollywood untuk memikat calon pelakon ke dalam pertemuan peribadi dan kemudian menyerang mereka secara seksual.

“Tabiat perogol ialah merogol. Anda boleh melihat corak tingkah lakunya,” kata pendakwa raya Paul Thompson. 

"Anda mempunyai bukti yang tidak dapat disangkal dan kukuh mengenai sifat lelaki ini dan apa yang dia lakukan terhadap wanita-wanita yang menjadi mangsanya.”

Peguam Weinstein berkata dakwaan terhadap anak guam mereka adalah rekaan atau berlaku secara persetujuan sebagai sebahagian daripada "hubungan transaksi" dengan penerbit filem itu.

Mereka juga turut menekankan tidak ada bukti serangan, di mana peguam bela Alan Jackson menyifatkan pihak yang mendakwa Weinstein mahu “mencari kemasyhuran dan kekayaan."

Weinstein, 70, kini menjalani hukuman penjara 23 tahun di New York selepas disabitkan kesalahan merogol.

Beliau dijadualkan untuk mendengar keputusan dalam kes Los Angeles awal tahun depan. 

Bagaimanapun, sebelum hukumannya di Los Angeles, Weinstein perlu terlebih dahulu menyelesaikan hukuman penjara di New York sebelum dipindahkan ke California.

Lebih 100 wanita menuduh Weinstein melakukan rogol, serangan seksual atau salah laku seksual sejak 2017.