- Iklan -
Dunia

Nasa lancar misi Artemis dari Pusat Angkasa Kennedy

Ini merupakan kali pertama sistem pelancaran angkasa Nasa dan Nasa Orion, kapal angkasa paling selamat dibangunkan agensi itu terbang bersama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Misi Artemis menghantar kapal angkasa tanpa penumpang bagi mengelilingi bulan untuk menguji sistem navigasi dan kuasa kenderaan itu sebagai pelopor kepada misi lain ke permukaan bulan. Gambar: AFP
Misi Artemis menghantar kapal angkasa tanpa penumpang bagi mengelilingi bulan untuk menguji sistem navigasi dan kuasa kenderaan itu sebagai pelopor kepada misi lain ke permukaan bulan. Gambar: AFP

Agensi angkasa lepas Amerika Nasa pada Rabu melancarkan misi bulan Artemis I dari Pusat Angkasa Kennedy yang dimodenkan di Florida.

"#Artemis I memulakan lembaran baru dalam penerokaan manusia ke bulan," Nasa mengumumkan di Twitter, lapor Agensi Anadolu (AA).

Ia adalah kali pertama sistem pelancaran angkasa (SLS) Nasa dan Nasa Orion, kapal angkasa paling selamat yang dibangunkan oleh Nasa, terbang bersama.

Matlamat utama Artemis I untuk menunjukkan sistem Orion dalam persekitaran penerbangan angkasa dan memastikan kemasukan semula, penurunan, jatuh di laut serta pemulihan yang selamat sebelum penerbangan pertama dengan kru menggunakan Artemis II.

Menurut Nasa penerbangan ujian bersepadu pertama roket dan kapal angkasa itu akan membawa manusia ke bulan.

Misi ini mengambil masa 25 hari di angkasa lepas dan kapsul Orion akan jatuh ke laut pada 11 Disember.

Artemis II yang dijadualkan pada 2024 pula akan membawa empat angkasawan untuk misi sama. 

Sementara itu, Artemis III dijadualkan membawa dua angkasawan ke permukaan bulan pada 2025 atau tarikh lain.

Pelancaran Artemis I pada akhir Ogos dan awal September tergendala disebabkan masalah teknikal.

Taufan Ian juga menghalang percubaan pelancaran pada akhir September dan awal Oktober.

Artemis I akan memulakan perjalanan sejauh 1.3 juta batu (2.1 juta km).

Orion akan memasuki orbit elips Bulan yang akan menyaksikan kapal angkasa berada pada 62 batu (99 kilometer) di atas permukaan Bulan dan kira-kira 40,000 batu (64,373 kilometer) di luarnya.

SLS ialah roket terbesar yang pernah dibina, berketinggian 322 kaki (98m) dengan tujahan 8.8 juta paun (3.9 juta kg).