Arab Saudi menjalankan hukuman mati ke atas dua warga Pakistan kerana menyeludup heroin, menjadikannya pelaksanaan kali pertama hukuman mati bagi jenayah dadah dalam tempoh hampir tiga tahun, menurut semakan AFP.
Hukuman mati itu mendapat kecaman Amnesty International, mengatakan negara itu tidak patuh terhadap moratorium yang diumumkan pada Januari 2021 mengenai hukuman mati bagi kesalahan dadah.
Pelaksanaan hukuman mati itu dilaksanakan di Riyadh yang merupakan ibu negara Arab Saudi.
Media kerajaan berkata, pelaksanaan hukuman tersebut menunjukkan "kesungguhan kerajaan dalam memerangi semua jenis dadah kerana memberi mudarat besar kepada individu dan masyarakat," katanya.
Laporan itu tidak memberikan butiran mengenai cara pelaksanaan hukuman mati, namun negara itu itu sering menjalankan hukuman mati dengan kaedah memenggal kepala pesalah.
Arab Saudi mencetuskan bantahan antarabangsa pada Mac selepas menjalankan hukuman bunuh terhadap 81 orang dalam masa satu hari kerana kesalahan berkaitan keganasan.
Setakat November, sebanyak 128 hukuman mati telah dijalankan tahun ini, hampir dua kali ganda daripada jumlah keseluruhan tahun lalu sebanyak 69.
Terdapat 27 pelaksanaan hukuman mati pada 2020 dan 187 pada 2019.
"Peningkatan yang ketara dalam penggunaan hukuman mati di Arab Saudi tahun ini mendedahkan wajah sebenar yang disembunyikan pihak berkuasa di sebalik agenda reformasi yang mereka uar-uarkan kepada dunia," kata Diana Semaan, pemangku timbalan pengarah Amnesty untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.
Sebelum pelaksanaan hukuman semalam, tiada pelaksanaan hukuman mati bagi jenayah berkaitan dadah sejak Januari 2020, kata AFP.
Pada Januari 2021, kerajaan Arab Saudi mengumumkan moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi jenayah berkaitan dadah.
Namun pelaksanaan terbaru itu ”tidak mengendahkan moratorium rasmi kerajaan sendiri”, kata Semaan.
"Nyawa individu yang dihukum mati kerana jenayah berkaitan dadah terancam. Tanpa mengira jenayah yang dilakukan, tiada siapa yang harus menerima hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah ini," katanya.