- Iklan -
Berita

AS rekod kadar tertinggi kemasukan ke hospital kes demam selesema

Rekod kemasukan itu adalah tertinggi dalam tempoh sedekad.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kesihatan merawat pesakit di Hospital Houston Methodist, Texas pada 18 Ogos 2021. Gambar: AFP
Seorang petugas kesihatan merawat pesakit di Hospital Houston Methodist, Texas pada 18 Ogos 2021. Gambar: AFP

Amerika Syarikat (AS) berdepan kadar kemasukan ke hospital tertinggi dalam tempoh lebih sedekad akibat demam selesema dengan kebanyakan pesakit merupakan kanak-kanak dan warga emas, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

"Kes membabitkan virus sinsitium pernafasan dan selesema telah menunjukkan penurunan semasa pandemik Covid-19 disebabkan oleh langkah-langkah mitigasi seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Bagaimanapun, apabila orang ramai mula kembali menjalani rutin biasa dan bersosial tanpa pelitup muka, virus itu mula merebak dengan cepat," lapor Xinhua memetik laporan CDC.

Data dikeluarkan CDC mendedahkan sekurang-kurangnya 1.6 juta orang jatuh sakit akibat selesema pada musim ini, manakala 13,000 pesakit dimasukkan ke hospital dan 730 meninggal dunia.

"Kira-kira tiga pesakit daripada setiap 100,000 orang dimasukkan ke hospital akibat selesema dan angka berkenaan merupakan kadar tertinggi sejak 2010," menurut laporan itu.

Kadar kemasukan ke hospital semasa adalah hampir lima kali ganda berbanding semasa pra-pandemik pada 2019.