- Iklan -
Dunia

Bangladesh perlu AS$12.5 bilion untuk pelan perubahan iklim, kata Bank Dunia

Menurut Bank Dunia, walaupun Bangladesh berjaya mengurangkan jumlah mangsa bencana iklim, namun negara itu masih berdepan risiko iklim yang teruk.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak mengharungi air banjir di Dhaka, Bangladesh pada 24 Oktober. Gambar: Reuters
Seorang kanak-kanak mengharungi air banjir di Dhaka, Bangladesh pada 24 Oktober. Gambar: Reuters

Bangladesh memerlukan sekurang-kurangnya AS$12.5 bilion, kira-kira tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk pelan tindakan iklim dalam tempoh sederhana, menurut laporan Bank Dunia.

Pilihan pembiayaan termasuk keutamaan belanjawan, percukaian karbon, pembiayaan luar dan pelaburan swasta, menurut Laporan Iklim dan Pembangunan Negara Kumpulan Bank Dunia untuk Bangladesh pada Isnin.

Walaupun berjaya mengurangkan jumlah mangsa daripada bencana iklim, laporan itu menyebut  Bangladesh terus berhadapan risiko iklim yang teruk dan semakin meningkat yang boleh merisikokan potensi pertumbuhan kukuh negara itu jika tindakan segera tidak diambil.

Perubahan iklim paling teruk menjejaskan orang miskin, katanya sambil menambah purata kos yang ditanggung Bangladesh akibat ribut tropika ialah kira-kira AS$1 bilion setahun.

Menjelang 2050, satu pertiga daripada KDNK pertanian boleh terjejas dan 13 juta orang akan terjejas, lapor Xinhua.

Sekiranya berlaku banjir teruk, KDNK boleh merosot 9%. 

“Bangladesh telah menunjukkan cara menyesuaikan dan mengurus risiko bencana sejak 50 tahun lepas yang berjaya mengurangkan kematian berkaitan ribut sebanyak 100 kali ganda. Negara lain boleh belajar daripadanya.

"Namun berdasarkan risiko iklim yang semakin meningkat, tindakan penyesuaian selanjutnya sangat penting terutama melaksanakan pembanguan rendah karbon untuk masa depan yang berdaya tahan untuk Bangladesh," kata Naib Presiden Bank Dunia untuk Asia Selatan Martin Raiser.