- Iklan -
Dunia

Debat dengan rakyat anda, bukan saya, Richard Branson bidas menteri Singapura

Bilionair Britain itu berkata debat di televisyen hanya akan menjadi sekadar tontonan, dan akan mengurangkan wacana hukuman mati dalam ruang lingkup kata-kata sahaja.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai membawa plakad dan lampu LED ketika acara nyalaan lilindi Speakers Corner, Singapura bagi memperingati banduan warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam menjelang pelaksanaan hukuman matinya pada 25 April. Gambar: AFP
Orang ramai membawa plakad dan lampu LED ketika acara nyalaan lilindi Speakers Corner, Singapura bagi memperingati banduan warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam menjelang pelaksanaan hukuman matinya pada 25 April. Gambar: AFP

Bilionair Britain Richard Branson menggesa K Shanmugam untuk melibatkan diri dengan aktivis tempatan dan bukan dengannya, menolak jemputan menteri dalam negeri Singapura itu untuk berdebat mengenai hukuman mati.

Branson, adalah antara pengkritik lantang hukuman mati Singapura yang sekurang-kurangnya telah dijalankan terhadap 10 orang banduan kesalahan dadah sejak awal tahun ini, walaupun terdapat bantahan berkait proses perbicaraan mereka.

Beliau berkata debat yang ingin diadakan itu sepatutnya melibatkan suara daripada aktivis-aktivis Singapura sendiri.
"Dalam kes Singapura, kami mendapat inspirasi daripada usaha beberapa individu dan organisasi - termasuk aktivis, peguam, wartawan - yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan data," kata Branson sebagai respons kepada surat Shanmugam yang menjemputnya untuk berdebat secara langsung di televisyen mengenai isu hukuman mati.

Beliau turut menggesa Shanmugam untuk berdebat dengan aktivis anti hukuman mati daripada kumpulan Transformative Justice Collective dan Anti-Death Penalty Asia Network.

Branson turut mencadangkan peguam hak asasi terkemuka M Ravi, yang dikenakan beberapa tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa atas usahanya membela banduan bilik akhir di Singapura, termasuk seorang banduan warga Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam. 

Nasib mendiang Nagaenthran mendapat perhatian bilionair syarikat penerbangan Britain itu yang secara peribadi telah menulis rayuan kepada presiden Singapura tahun lalu supaya pengampunan diberikan kepada banduan kurang upaya itu.

Ketika menamakan Ravi, Branson menyifatkan beliau sebagai seorang "peguam yang berani", dan menggesa Singapura untuk memberi perhatian kepada kempen pemansuhan yang digerakkan penduduk tempatan  sendiri, di mana katanya, mereka itu juga “sangat mengambil berat dengan kemajuan Singapura, di mana saya yakin, sama seperti anda".

“(Suara) mereka perlu didengari, bukan diabaikan, atau lebih teruk lagi, diganggu,” tambahnya.

Beliau berkata debat yang disiarkan di televisyen hanya akan menjadi sekadar tontonan, dan akan mengurangkan wacana dalam ruang lingkup kata-kata sahaja.

"Saya tidak dapat bayang bahawa perkara demikian yang anda cari. Apa yang Singapura benar-benar perlukan ialah dialog yang membina dan berkekalan, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, dan memberi komitmen sebenar terhadap ketelusan dan bukti."