- Iklan -
Dunia

Suu Kyi bakal jalani dua lagi hukuman penjara di Myanmar

Jumlah tempoh penjaranya kini mencecah 26 tahun sejak junta tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Aung San Suu Kyi ketika protes membantah penahanannya oleh junta di Yangon, Myanmar pada Februari 2021. Gambar: Reuters
Penyokong Aung San Suu Kyi ketika protes membantah penahanannya oleh junta di Yangon, Myanmar pada Februari 2021. Gambar: Reuters

Pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi bakal menjalani dua lagi hukuman penjara tiga tahun secara serentak atas pertuduhan rasuah pada Rabu.

Ini merupakan sabitan ke-14 buat Suu Kyi dengan jumlah tempoh penjaranya kini mencecah 26 tahun sejak tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari 2021.

Wanita itu dilaporkan masih berdepan lima lagi pertuduhan, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang berita Myanmar Now.

"Sabitan itu berkaitan dengan dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan Maung Weik pada Mac 2021, dalam keterangan yang direkodkan oleh junta dengan menuduh Suu Kyi menerima rasuah lebih dari AS$550,000 pada empat kali pertemuan mereka antara 2018 dan 2020," kata laporan itu.

Bulan lalu Suu Kyi dan penasihat ekonominya yang merupakan warga Australia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan melanggar akta rahsia rasmi.

Sebelum ini, mahkamah tentera telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Suu Kyi atas tuduhan penipuan dalam pilihan raya.

Pada Jun lepas, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkan beliau dalam kurungan bersendirian.

Selepas rampasan kuasa tentera pada 24 Feb 2021, Suu Kyi diletakkan di bawah perintah tahanan rumah sehingga April tahun ini sebelum dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui, dipercayai Penjara Naypyitaw.

Wanita itu berhadapan pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah.  

Bagi kes rasuah, beliau disabitkan dengan hukuman penjara lima tahun pada April.

Kerajaan Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera tahun lalu selepas memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.

Rampasan kuasa itu diikuti dengan pergolakan awam yang meluas apabila orang ramai mengecam penyingkirannya dan pemerintahan tentera. 

Junta membalas secara ganas ke atas mereka yang melakukan protes, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa negara itu bakal menuju kepada perang saudara.

Pejabat hak asasi manusia PBB memaklumkan sekurang-kurangnya 2,316 orang termasuk 188 kanak-kanak telah terbunuh di Myanmar sejak tentera merampas kuasa.