- Iklan -
Dunia

Kerajaan Iran sekat internet ketika protes terus memuncak

Sekatan internet di negara itu telah menyebabkan ramai merungut dan banyak urusan seharian tidak dapat dijalankan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah gambar yang diterima AFP di Iran pada 21 September menunjukkan orang ramai berkumpul dalam protes di jalan raya bagi menuntut bela kematian Mahsa Amini ketika ditahan polis. Gambar: AFP
Sebuah gambar yang diterima AFP di Iran pada 21 September menunjukkan orang ramai berkumpul dalam protes di jalan raya bagi menuntut bela kematian Mahsa Amini ketika ditahan polis. Gambar: AFP

Seorang operator syarikat teknologi di Tehran Saeed Souzangar turut berdepan gangguan komunikasi walaupun dia adalah seorang yang mahir dalam memastikan perjalanan lancar operasi syarikatnya yang sangat bergantung dengan internet.

Gangguan internet di Iran berlaku selepas sekatan kerajaan berikutan protes besar-besaran di seluruh negara akibat kematian Mahsa Amini, 22, di mana beliau meninggal dunia selepas ditahan polis moral negara itu.

"Ini adalah sekatan internet paling teruk yang pernah kami alami dalam tempoh tiga tahun. huru-hara semuanya; semua kerja tak jalan," kata Souzangar, 34, melalui satu mesej kepada Reuters.

"Saya tak boleh melakukan kerja saya, saya tak boleh bercakap dengan orang yang saya sayangi, saya tidak boleh lakukan transaksi bank yang mudah di telefon saya."

Ketika orang ramai turun ke jalan raya pada 16 September, pihak berkuasa memotong data mudah alih dan menyekat platform media sosial Instagram dan WhatsApp di beberapa wilayah negara itu, kata kumpulan hak digital Access Now. 

Penutupan internet mudah alih kemudiannya dilaksanakan di seluruh negara itu, malah internet domestik terganggu selepas protes terus memuncak.

Minggu lalu, menteri komunikasi berkata gangguan "sementara" di beberapa tempat  telah berjaya diselesaikan.

Iran adalah salah satu negara yang mempunyai jumlah penutupan internet tertinggi tahun lalu, apabila kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang berbeza pendapat dengan dasarnya.

Langkah tersebut turut diambil semasa pilihan raya tempatan selain sebagai usaha menyembunyikan dakwaan keganasan terhadap penunjuk perasaan, kata kumpulan hak asasi manusia.

Memandangkan pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan melepaskan tembakan amaran untuk menyuraikan penunjuk perasaan, penutupan internet telah menyukarkan orang ramai menyiarkan imej dan video keganasan pihak berkuasa, kata aktivis hak digital.

Ia adalah sebahagian daripada strategi kerajaan, kata Amir Rashidi, pengarah kumpulan hak asasi digital Miaan Group yang berpangkalan di Texas.

“Mereka mahu menghalang penunjuk perasaan daripada berkomunikasi antara satu sama lain dan mereka mahu menghalang orang ramai daripada menghantar bukti dan gambar pelanggaran hak asasi ini kepada dunia luar,” katanya.