- Iklan -
Berita

Israel mengaku tenteranya mungkin tembak wartawan Al Jazeera

Negara itu menegaskan tenteranya tidak menyasarkan Shireen Abu Akleh dalam kejadian tembakan itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Wartawan Palestin mengadakan protes menuntut keadilan bagi wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh yang ditembak 11 Mei lalu. Gambar: AFP
Wartawan Palestin mengadakan protes menuntut keadilan bagi wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh yang ditembak 11 Mei lalu. Gambar: AFP

Siasatan Israel berhubung pembunuhan wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh menyumpulkan bahawa kemungkinan beliau ditembak mati oleh seorang tentera Israel secara tidak sengaja dan bukannya disasarkan, kata pihak tentera semalam.

Abu Akleh yang merupakan warga Palestin ditembak pada 11 Mei lalu ketika beliau membuat liputan mengenai operasi Israel di bandar Jenin dan Tebing Barat.

Tentera Israel berkata pasukannya sedang mengadakan operasi di Jenin dan sedang berbalas tembakan di mana Abu Akleh berada 200m dari kawasan tersebut.

Abu Akleh terkenal kerana melaporkan berita dari wilayah itu sejak dua dekad lalu.

Kematiannya mencetuskan kemarahan di peringkat global lebih-lebih lagi selepas polis memukul pengiring kerandanya sewaktu proses pengebumian.

“Semua bukti, fakta dan siasatan yang telah dijalankan membuktikan bahawa Israel adalah pelaku dan ia telah membunuh Shireen dan harus bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukannya,” kata Nabil Abu Rudeineh, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Keluarga Abu Akleh berkata mereka "sangat terluka, kesal dan kecewa" dengan kenyataan Israel yang dikatakan "cuba mengaburi kebenaran dan mengelak daripada bertanggungjawab dalam pembunuhan Shireen Abu Akleh".

Siasatan Israel, termasuk temu bual dengan tentera negara itu, analisis tempat kejadian serta rakaman audio dan video, mendapati ia "tidak dapat menentukan secara pasti punca tembakan" yang membunuh Abu Akleh.

Israel juga berulang kali menafikan pihaknya sengaja menyasarkan Abu Akleh, mengatakan siasatan menunjukkan bahawa tentera telah bertindak mengikut peraturan.

"Kami boleh katakan secara pasti 100% bahawa tiada pegawai IDF yang sengaja mengarahkan tembakan ke atas wartawan atau orang yang tidak terlibat di lapangan," kata seorang pegawai kanan tentera yang memberi taklimat kepada wartawan mengenai penemuan siasatan.

Walid al-Omari, ketua biro tempatan Al Jazeera, memberitahu Reuters bahawa kesimpulan Israel mengenai insiden itu adalah percubaannya untuk mengelakkan siasatan jenayah secara bebas.

“Jelas sekali mereka cuba mengekalkan kekaburan dan penipuan di satu pihak, pada masa yang sama membersihkan diri mereka daripada salah laku dengan mendakwa berlaku kejadian berbalas tembakan,” katanya. 


"Ini semua pembohongan, kerana semua saksi dan video rakaman menafikan dakwaan mereka."